PKPP sambung hingga 31 Mac, kadar jangkitan tinggi

203

1 JAN: Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara yang sepatutnya tamat semalam, dilanjutkan mulai hari ini sehingga 31 Mac.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelanjutan tempoh berkenaan dibuat dengan mengambil kira penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati peningkatan kes yang ketara masih berlaku di seluruh negara dengan kadar kebolehjangkitan COVID-19 yang tinggi sekarang.

Berikutan itu, Ismail Sabri berkata, pelanjutan PKPP sudah diwartakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan.

ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Peningkatan kes ini disumbangkan oleh pelaksanaan saringan wajib terhadap pekerja warga asing yang sedang dijalankan secara besar-besaran di beberapa negeri tumpuan serta ianya juga akibat dari berlakunya penularan jangkitan dalam komuniti yang dikesan terutamanya di Lembah Klang dan beberapa negeri lain.

“Segala prosedur operasi standard (SOP) di bawah PKPP adalah terpakai bagi tempoh kuatkuasa yang diwartakan dan tertakluk kepada perubahan yang akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Menurut beliau, aktiviti pelancongan adalah berdasarkan ketetapan yang telah diumumkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sebelum ini namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Orang ramai adalah dinasihatkan agar terus mematuhi SOP, amalkan 3W (memakai pelitup muka (Wear), kerap mencuci tangan (Wash), memberi amaran kepada ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga untuk patuh kepada SOP (Warn).

“Kita juga perlu mengelakkan 3C iaitu tempat sempit (Confine space), kesesakan (Crowded place) dan bercakap rapat-rapat (Close conversation) bagi mencegah diri dari dijangkiti virus COVID-19 dari terus menular dalam komuniti,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.