PKPD 2 asrama pekerja, esok hingga 15 Januari

1 JAN: Kerajaan hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di dua lokasi baharu iaitu PKPD Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir, Muar; PKPD Asrama Pekerja Westlite 1 dan Westlite 2, Senai, Johor, berkuatkuasa mulai esok hingga 15 Januari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan PKPD di Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir, Muar, Johor, selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan berlaku peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan terbabit.

Malah, sehingga 31 Disember 2020, KKM telah melaksanakan 338 ujian saringan dan daripada jumlah itu 212 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“Berikutan itu atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir, Muar, Johor bermula 2 sehingga 15 Januari 2021.

“PKPD ini akan melibatkan 17 blok bangunan yang menempatkan 1828 penghuni yang kesemuanya adalah pekerja warga asing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan juga mengambil keputusan untuk melaksanakan PKPD di Asrama Pekerja Westlite 1 dan Westlite 2, Senai, Johor selepas KKM melaporkan berlaku peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan kediaman pekerja asing terbabit hari ini.

Beliau berkata sehingga 31 Disember 2020, KKM telah melaksanakan 95 ujian saringan dan daripada jumlah itu 20 kes positif COVID-19 telah direkodkan dalam kalangan penghuni di kedua-dua asrama ini.

Katanya, KKM turut mengesahkan terdapat risiko jangkitan yang tinggi di tempat kerja dan kepada pekerja industri yang tinggal di asrama ini.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Asrama Pekerja Westlite 1 dan Westlite 2, Senai, Johor bermula esok sehingga 15 Januari 2021.

“PKPD ini akan melibatkan dua blok bangunan di Asrama Pekerja Westlite 1 dan 5 blok bangunan di Asrama Pekerja Westlite 2 yang menempatkan 4444 penghuni yang kesemuanya adalah pekerja warga asing,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga mengumumkan penamatan lebih awal PKPD Apartment Ria, di Jalan Genting, Bentong berkuatkuasa mulai hari ini berbanding tarikh asal tamat pada 6 Januari 2021.

Beliau berkata penamatan lebih awal dibuat selepas KKM telah melaksanakan 1,042 ujian saringan dan daripada jumlah itu
hanya 2 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“KKM turut mengesahkan kesemua penduduk dilokaliti ini telah disaring dan tiada lagi sampel menunggu keputusan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD Apartment Ria di Jalan Genting, Bentong pada hari ini, 1 Januari 2021 lebih awal daripada dijadualkan,” katanya.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, Ismail Sabri menambah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 347 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 337 telah dikenakan kompaun manakala 10 direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (135), tidak memakai pelitup muka (109), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (54) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (49),” jelasnya.

Ismail Sabri memberitahu, pasukan keselamatan juga berjaya menahan 31 pendatang asing tanpa izin dan merampas lima buah kenderaan darat dalam Op Benteng semalam. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.