KKM kesan 3 kluster baharu COVID-19, 4 negeri terlibat

41

1 JAN: Kementerian Kesihatan mengesan tiga kluster baharu COVID-19 di Pulau Pinang, Johor, Pahang dan Selangor hari ini.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Rawa Akasia yang merupakan kluster tempat kerja melibatkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang.

“Kes indeks bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 pada 24 Disember 2020 melalui saringan individu bergejala.

“Sehingga 1 Januari 2021, sejumlah 322 individu telah disaring, di mana 117 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, kluster tempat kerja kedua iaitu Kluster Jalan Perindustrian dikesan di Kulai, Johor dan kes indeksnya dilaporkan positif COVID-19 pada 28 Disember 2020 melalui saringan bersasar di tempat kerja.

Dr Noor Hisham memberitahu, sehingga hari ini, sejumlah 95 individu telah disaring, di mana 20 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster tersebut.

Menurut beliau, Kluster Rantau Semarak pula melibatkan daerah Maran di Pahang dan daerah Gombak di Selangor.

“Kes indeks bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 pada 28 Disember 2020 melalui saringan individu bergejala.

“Sehingga 1 Januari 2021, sejumlah 69 individu telah disaring, di mana 18 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” jelasnya.

Secara keseluruhan, sebanyak 514 kluster dilaporkan setakat hari ini dan 290 kluster telah tamat manakala 224 kluster lagi masih aktif dipantau.

Sebanyak 54 kluster melaporkan pertambahan kes dan tiga kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Metropolis (153 kes), Kluster Rawa Akasia (110 kes) dan Kluster Tapak Bina Residen (91 kes). – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.