Helikopter terhempas semasa pendaratan kecemasan

1 JAN: Seorang juruterbang dan pembantunya cedera ringan selepas sebuah helikopter milik persendirian jenis Turbine Robinson R66 dilaporkan terhempas di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10 pagi tadi.

“Helikopter berkenaan telah melakukan pendaratan cemas dan terhempas di kawasan lapang dan tiada kebakaran berlaku.

“Terdapat dua mangsa terlibat dalam kejadian tersebut dan mereka berada dalam keadaan stabil serta hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mangsa dikenali sebagai Kharudin Dahlan (juruterbang), 73, mengalami kecederaan di tangan kiri manakala Moithu Kutti Mohamad (pembantu juruterbang), 53, mengalami luka kecil,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan punca kemalangan masih lagi dalam siasatan.

Sementara itu, siasatan awal polis mendapati juruterbang helikopter milik persendirian jenis Turbine Robinson R66 itu hilang kawalan ketika cuba membuat latihan ‘hovering’ di kawasan lapang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, helikopter ringan berkenaan terhempas pada ketinggian kira-kira empat meter ketika cuba melakukan pendaratan di sebuah kawasan lapang berhampiran PKFZ.

Menurut beliau, helikopter berkenaan seterusnya terbalik dan bahagian ekornya tercabut dan tercampak kira-kira 20 meter daripada badan helikopter berkenaan.

“Mangsa, juruterbang dan penumpang masing-masing berusia 73 tahun dan 53 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamsul Amar menambah, siasatan menyeluruh mengenai kejadian berkenaan akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.