2068 kes baharu COVID-19, 2230 pesakit sembuh

48

1 JAN: Sebanyak 2,068 kes baharu COVID-19 dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kes jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 115,078 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 23,433 kes.

Menurut beliau, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,066 kes.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 776 kes (37.5 peratus).

“Daripada jumlah ini, sebanyak 425 kes (54.8 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Kuala Lumpur sebanyak 457 kes (22.1 peratus) dan Sabah sebanyak 254 kes (12.3 peratus),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, sebanyak 18 kes (0.9 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (13 kes), Kluster Tembok Gajah (4 kes) dan Kluster Pagar Siput (1 kes).

Beliau memberitahu, tiga pesakit meninggal dunia hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 474 kes (0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Semua mangsa yang meninggal dunia adalah rakyat tempatan yang terdiri daripada dua lelaki masing-masing berumur 69 dan 94 tahun dan seorang wanita berusia 58 tahun.

“Sehingga kini, terdapat 126 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 54 kes memerlukan bantuan pernafasan,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 2,230 kes sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 91,171 kes (79.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.