Zeti nafi dakwaan, sifatkan tuduhan berniat jahat

31 DIS : Mantan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hari ini menafikan tuduhan terhadap diri dan keluarganya yang didakwa  menerima dana daripada Jho Low yang mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Zeti berkata segala tuduhan terhadap diri dan keluarganya itu tidak benar dan bertujuan merosakkan imejnya dan keluarga.

Zeti yang juga merupakan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkata, dia telah memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa yang menyiasat skandal tersebut.

“Bagaimanapun saya tidak boleh mengulas lanjut tentang isu ini kerana saya mempunyai potensi untuk menjadi saksi dalam kes 1MDB yang masih belum selesai lagi.

“Saya menafikan segala tuduhan tersebut dan saya serta keluarga tidak pernah menerima sebarang dana yang berkaitan dengan 1MDB,” tegasnya.

Sebelum ini, portal Malaysia Today yang dimiliki Raja Petra Kamaruddin mendakwa, sebahagian daripada ahli keluarga mantan Gabenor Bank Negara itu menerima RM100 juta dana daripada Jho Low, termasuk suami dan anaknya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.