SPRM buka kertas siasatan isu kartel daging haram

71

31 DIS: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung isu kartel daging import haram dengan membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut beliau, SPRM sudah membuka kertas siasatan berhubung kes kartel daging import haram dan siasatan mengenai perkara itu masih berjalan, bagaimanapun setakat ini kerajaan masih belum menerima laporan mengenainya.

“Saya difahamkan pihak berkuasa kini sedang membuat siasatan sehingga ke akar umbi. Antara kementerian terbabit dalam siasatan itu ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sendiri kerana ia membabitkan sijil halal.

“Siasatan dibuat berdasarkan perundangan dan sekiranya ada pelanggaran undang-undang, tindakan akan diambil. Jadi buat masa ini kita tunggu laporan siasatan nanti,”jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian cek sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan kebajikan di Kedah, hari ini.

Takiyudin yang juga Menteri Penyelaras Antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah,menjelaskan isu kartel daging haram ini satu isu besar dan pengumuman rasmi hasil siasatan akan dilakukan oleh menteri-menteri kementerian berkaitan.

Selasa lalu, media melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata polis percaya kegiatan kartel daging import yang menggunakan label halal palsu itu membabitkan rangkaian luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara.

Setakat ini, polis menerima 13 laporan daripada orang awam di seluruh negara yang gusar dengan kemunculan isu berkenaan selepas media melaporkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari beberapa negara sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.