Prihatin kerajaan kepada rakyat bukan sekadar slogan- PM

31 DIS : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa keprihatinan kerajaan terhadap rakyat bukan sekadar slogan, tetapi ia dibuktikan dengan pelaksanaan dasar kerajaan yang mengambil kira semua aspek dan kebajikan rakyat secara keseluruhannya di negara ini.

Menurut beliau, di sebalik pelbagai cabaran akibat pandemik COVID-19 ini, kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengambil kira semua aspek dan kebajikan seluruh lapisan masyarakat dalam perancangan sektor ekonomi, kesihatan, pendidikan dan sosial.

“Ingin saya tegaskan, PRIHATIN ini bukan sekadar slogan sahaja, tetapi merangkumi keseluruhan pembentukan dan pemikiran dasar kerajaan Perikatan Nasional, sehingga ke peringkat pelaksanaan dan penyampaiannya.  

“Walaupun saya akui untuk memulihkan ekonomi negara dalam keadaan sekarang bukanlah tugas yang mudah, namun kerajaan telah  melaksanakan pelbagai inisiatif yang melibatkan semua peringkat lapisan rakyat.

“Inisiatif ini kesemuanya bertujuan meringankan rakyat dan memastikan tiada golongan yang tercicir atau tertinggal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam  perutusan khas sempena sambutan tahun baharu 2021 yang disiarkan secara langsung hari ini.

Tambahnya lagi, agenda membasmi kemiskinan adalah antara agenda penting kerajaan dan selaras dengan itu, kerajaan telah mengambil pendekatan yang inklusif dalam menangani isu kos sara hidup, khususnya dalam mengharungi pandemik COVID-19 dengan memperkenalkan empat Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM305 bilion.

“Ini merangkumi pelbagai langkah untuk memelihara kesejahteraan hidup rakyat, menjamin kelangsungan dan lonjakan perniagaan serta memastikan ekonomi berada di landasan pemulihan. 

“Pelbagai langkah proaktif dan inovatif telah diperkenalkan kerajaan untuk meringankan beban rakyat sepanjang tahun 2020 melalui pakej rangsangan ekonomi ini,” jelasnya.

Sehingga hari ini menurut Muhyiddin, seramai 10.6 juta rakyat telah menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN), sebanyak RM12.928 bilion telah memberi manfaat kepada 326,136 majikan bagi mengekalkan 2.67 juta pekerja melalui Program Subsidi Upah dan sebanyak 830,314 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro mendapat bantuan Geran Khas Prihatin.

“Manakala 8 juta peminjam individu dan PKS menikmati manfaat daripada moratorium terhadap bayaran pinjaman bank, di mana Malaysia merupakan antara negara pertama di dunia yang mengumumkan moratorium pukal selama 6 bulan, kemudiannya diikuti dengan moratorium bersasar,” katanya.

Secara keseluruhan kata Perdana Menteri lagi, pakej rangsangan ekonomi ini merupakan pakej rangsangan terbesar dalam sejarah negara dan antara terbesar di Asia.  

“Justeru, menjelang tahun baharu 2021 ini, saya ingin menyeru saudara dan saudari agar terus memperkukuhkan azam, memperteguh iltizam dan memantapkan ikhtiar kita untuk bersama -sama membendung pandemik COVID-19.

“Percayalah, segala usaha sedang giat dan akan terus dijalankan oleh pihak kerajaan bagi memastikan kita berada dalam keadaan selamat daripada ancaman COVID-19.

“Saya sedar dan insaf bahawa ada dalam kalangan kita telah diuji dengan khabar kematian orang yang tersayang, ada di antara kita yang dibuang kerja, ada yang terpaksa belajar memasak dan membuat kuih untuk menampung pendapatan harian, ada ibu yang terpaksa mengikat perut demi mengutamakan makanan untuk anak-anak dan pelbagai lagi kesulitan hidup dan cabaran akibat wabak COVID-19.

“Namun demikian, kita sendiri perlu bertanggungjawab dan berwaspada kerana virus ini sudah berada dalam komuniti di sekeliling kita. Insya-Allah, berbekalkan pengalaman sepanjang tahun 2020 kita semua mampu memastikan situasi pandemik terus terkawal,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.