Polis tahan 301 individu ingkar arahan PKP

58

31 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 301 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 298 orang telah dikenakan kompaun manakala tiga lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (149), tidak memakai pelitup muka (77), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (63), aktiviti pusat hiburan (2), dan lain-lain (10),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

Pasukan Bertindak Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 46,102 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 2,506 pasukan pematuhan yang melibatkan 11,811 anggota telah membuat pemantauan di 2,799 pasar raya, 4,447 restoran serta 1,651 penjaja, 1,122 kilang, 3,176 bank dan 589 pejabat kerajaan.

Turut dipantau, sebanyak 1,044 terminal pengangkutan darat, 237 terminal pengangkutan air serta 125 terminal pengangkutan udara.

Berhubung Op Benteng, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 31 pendatang asing tanpa izin dan dua tekong serta merampas enam kenderaan darat semalam.

Sebanyak 107 sekatan jalan raya dilakukan di seluruh negara melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Sementara itu, sebanyak 36 operasi sanitasi awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijalankan semalam.

Operasi tersebut meliputi 14 Zon Merah, 4 Zon Jingga, 7 Zon Kuning dan 2 Zon Hijau yang melibatkan 9 buah negeri dan 2 Wilayah Persekutuan iaitu Sabah (11 operasi), Melaka (8 operasi), Pahang (3 operasi), Kelantan (3 operasi), Sarawak (2 operasi), Kedah (2 operasi), Perak (2 operasi), Johor (1 operasi), Terengganu (1 operasi), serta Kuala Lumpur (2 operasi) dan Labuan (1 operasi).

Sementara tahun baharu 2021 esok, Ismail Sabri menyeru rakyat agar terus cekal dan mematuhi SOP serta mengamalkan kawalan kendiri untuk memastikan diri, keluarga dan masyarakat kekal selamat dalam situasi COVID-19 yang masih belum berakhir. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.