Pernah hilang kuasa, UMNO mesti ambil iktibar

132

31 DIS: Semua pemimpin dan ahli UMNO seharusnya mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan parti itu hilang kuasa lantaran kerapuhan perpaduan dalam kalangan orang Melayu.

Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, peristiwa itu menjadi ujian kepada UMNO yang menyaksikan parti tersebut berperanan sebagai pembangkang buat julung-julung kalinya setelah tampuk pentadbiran kerajaan bertukar.

“Keperitan meneruskan perjuangan amat terasa, dihimpit, ditekan, diperdaya malah ada segelintir yang diheret kemuka pengadilan atas tuduhan yang sengaja diada-adakan namun UMNO masih ada upaya.

“Rencana Ilahi melangkau akal kita apabila menjadi pembangkang tidak sampai sepenggal dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang penuh kebatilan runtuh, maka kini UMNO menjadi sebahagian dari kerajaan, tetapi itu semua adalah permulaan untuk ‘peperangan’ kita yang lebih nyata menjelang PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

tengku adnan
TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR

Beliau berkata demikian sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan bermula esok hingga 3 Januari ini.

Sehubungan itu, Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berharap semua ahli UMNO sentiasa bersedia dan bekerja keras untuk memenangi hari rakyat.

Beliau turut meminta mereka agar tidak gentar dengan cabaran daripada mana-mana parti politik.

“UMNO harus meneruskan tekad demi perjuangan berterusan, sanggup bekerja sepenuh hati dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.

“Ayuhlah, kita bersama teruskan langkah seiring, berganding bahu dan membulatkan tekad bagi mengembalikan maruah agama, bangsa dan negara,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.