Penolong Juruterbang Sarawak positif Covid-19

31 DIS : Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) hari ini memaklumkan, satu daripada dua kes positif terbaharu COVID-19 yang dikesan di daerah Miri membabitkan seorang lelaki warganegara Malaysia yang bertugas sebagai penolong juruterbang di sebuah syarikat penerbangan serantau di sini.

Menurut pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerusi satu kenyataan, juruterbang terbabit bukan berasal dari Sarawak dan telah mendapatkan rawatan kesihatan serta menjalani ujian saringan COVID-19 pada 29 Dis lepas di sebuah hospital swasta kerana mengalami sakit tekak sejak 28 Dis.

“Ujian saringan itu kemudiannya didapati positif pada 30 Dis dan siasatan awal menunjukkan beliau pernah melakukan tugasan penerbangan dengan bermalam, pergi dan balik ke Kota Kinabalu, Sabah dari Miri pada 21, 24 serta 26 Dis sebelum mengalami tanda dan gejala jangkitan COVID-19 pada 28 Dis.

“Beliau sebelum ini pernah melakukan ujian saringan COVID-19 pada 14 Dis lepas namun keputusannya adalah negatif.

“Selain bermalam di beberapa tempat, juruterbang terbabit juga pernah melawat beberapa premis makanan dan pusat membeli-belah di sekitar Miri dan pada 30 Dis, melakukan penerbangan dari Miri ke Lawas, Ba’ kelalan serta Bario.

“Beliau juga pernah mengunjungi beberapa premis makanan di Lapangan Terbang Miri dan sebuah restoran di bandar raya tersebut sebelum dimasukkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut pada malam 30 Dis lepas,”jelas kenyataan itu.

.

Kes itu dikategorikan sebagai kes import B iaitu mendapat jangkitan semasa berada di kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 di Sabah.

JPBN Sarawak juga memaklumkan bahawa siasatan terperinci pergerakan dan pengesanan semua kontak rapat kes itu sedang giat dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri.

Sementara itu, satu lagi kes melibatkan seorang lelaki warga tempatan Sarawak yang tiba di Lapangan Terbang Miri pada 27 Dis lepas dan disahkan positif hari ini.

Menurut kenyataan itu, kes tersebut dikatakan berkemungkinan mendapat jangkitan semasa berada di Johor atau Pulau Pinang berdasarkan sejarah perjalanannya dalam tempoh 14 hari lepas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.