Agong,Permaisuri zahirkan harapan musibah Covid-19 segera berlalu

88

31 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahun baharu 2021 dengan harapan vaksin COVID-19 yang bakal diterima kelak akan melandaikan keluk pandemik, sekali gus memutuskan transmisi virus itu di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan harapan agar rakyat terus cekal dan sabar mengharungi pelbagai ujian ekoran wabak COVID-19, serta sentiasa berdoa negara pulih daripada musibah yang melanda.

“Penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia dan negara sejak awal tahun ini telah memaksa rakyat menjalani kehidupan harian di luar kebiasaan dalam pelbagai aspek, malah ia juga mengancam keselamatan diri dan menjejaskan kesejahteraan ekonomi negara serta sosioekonomi rakyat.

“Seri Paduka Baginda berdua turut mengambil kesempatan ini menzahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, Malaysia sentiasa dirahmati dengan nikmat keamanan dan perpaduan, meskipun sepanjang 2020, negara yang kita cintai ini dilanda dengan pelbagai ujian,” katanya dalam menerusi kenyataan media Istana Negara, hari ini. 

Seri Paduka berdua menasihati rakyat supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil memberitahu Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong amat prihatin terhadap nasib rakyat dan turut sama merasa segala keperitan hidup rakyat, terutamanya yang kehilangan orang tersayang mahupun punca pendapatan, akibat penularan wabak COVID-19 ini

“Sesungguhnya, Seri Paduka Baginda berdua sentiasa inginkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat jelata terpelihara dan ini amat bergantung kepada kestabilan politik dan pentadbiran negara,” katanya.

Dalam usaha mengekalkan kestabilan itu, Seri Paduka Baginda berdua sekali lagi menasihati semua pihak, khususnya ahli-ahli politik supaya mengurangkan agenda dan ketegangan politik, bersama-sama berganding bahu dan memberi tumpuan membela kebajikan rakyat serta mengutamakan proses pemulihan ekonomi negara.

“Seharusnya, kita semua perlu sentiasa bermuhasabah untuk mengambil iktibar serta teladan daripada peristiwa dan cabaran yang telah dilalui pada tahun lalu untuk memperbaiki diri, keluarga, komuniti dan negara secara keseluruhannya,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berdoa agar keamanan dalam negara dapat dikekalkan serta keharmonian hubungan antara kaum, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat yang sentiasa berpegang pada prinsip rukun negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka Baginda mengajak seluruh rakyat bersama-sama mendoakan negara sentiasa dilindungi daripada segala bentuk ancaman serta dikurniakan perpaduan dan kemakmuran berkekalan, Seri Paduka berdua mendoakan pemerintah, pemimpin dan rakyat di negara ini terus dirahmati dan diberkati Allah SWT .

“Allah SWT sentiasa membantu orang-orang yang berusaha, dengan semangat perpaduan dan daya tahan yang jitu kita mampu bersama menghadapi segala cabaran dan ujian.

“Semoga tahun 2021 dikurniakan oleh Allah SWT dengan keadaan lebih baik berbanding tahun-tahun yang lalu,” titah baginda. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.