Ada bukti Zeti dan keluarga terima wang 1MDB

31 DIS : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempersoalkan mengapa peguam-peguamnya dan beliau sendiri tidak pernah diberitahu tentang tuduhan terbaharu yang mengaitkan keluarga mantan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menerima dana daripada Jho Low yang berkaitan dengan skandal 1MDB.

Menurut Najib, perkara tersebut amat penting kerana ia boleh dijadikan bahan bukti kes perbicaraannya berhubung kes skandal 1MDB yang dihadapinya.

“Seperti yang kita tahu, bulan lepas, kita terima maklumat bahawa keluarga Zeti telah disiasat dan dikenakan tindakan di bawah akta jenayah Singapura sebab menerima dana dari 1MDB.

“Dipercayai bahawa keluarga Zeti telah bertahun-tahun menerima dana dari Jho Low sejak sebelum 1MDB ditubuhkan. Dana yang berasal dari 1MDB turut diterima dalam akaun mereka berjumlah lebih RM120 juta,” kata Najib menerusi satu kenyataan di facebooknya hari ini.

Tambah Najib, maklumat tersebut juga menyatakan, untuk menyelesaikan kes jenayah itu, pada tahun 2019, mereka telah bersetuju menyerah semula segala dana yang dipercayai lebih 100 juta dalam akaun-akaun di Singapura mereka kepada 1MDB

Bagaimanapun, lebih RM12 juta dalam matawang asing tidak dipulangkan kerana mereka mendakwa itu adalah dana mereka sendiri yang tiada kaitan dengan Jho Low.

“Justeru, mengapa dokumen seperti ini tidak diserahkan sebagai bahan bukti kes dalam perbicaraan-perbicaraan saya di mahkamah selama ini berhubung kes 1MDB yang saya hadapi?”soal Najib.

Sementara itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat, (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tuduhan baharu terhadap mantan Gabenor BNM itu telah mencemarkan imej dan reputasi negara.

Menurut beliau, tuduhan tersebut tidak boleh didiamkan begitu sahaja dan beliau perlu menjawab segala tuduhan tersebut, kerana ia bersangkut paut dengan intergriti pengawal selia kewangan di negara ini.

“Zeti harus segera mengesahkan kenyataan-kenyataan yang dibuat sebelum ini terkait pengetahuannya tentang aliran dana haram 1MDB, dan apakah atas kapasiti sebagai Gabenor BNM, beliau telah dengan sedar membenarkan aliran dan transaksi masuk dan keluar dari akaun-akaun bank di Malaysia yang dimiliki oleh pemain-pemain politik.

“Beliau juga mesti memberi penjelasan tentang sebarang pengetahuan yang beliau ada saat kes 1MDB terdedah, dan apakah ahli-ahli keluarganya turut mendapat manfaat kewangan hasil dari kesepakatan dengan Jho Low.

“Begitu juga beliau perlu menjawab dakwaan wujudnya akaun-akaun luar pesisir yang berdaftar memberi petunjuk bahawa ia adalah milik ahli-ahli keluarga Zeti,” tegasnya.

Anwar berkata demikian dalam satu kenyataan media menerusi facebook rasmi beliau.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.