2,525 kes baharu, lapan kematian direkodkan hari ini

81

31 DIS : Malaysia telah merekodkan kes baharu harian tertinggi sepanjang pendemik Covid-19 di negara ini iaitu sebanyak 2,525 di hari terakhir tahun 2020, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 113,010 kes, manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 23,598 kes.  

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 13 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,512 kes.

“Selangor juga melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,205 kes (47.7 peratus). Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 299 kes (11.8 peratus) dan Melaka sebanyak 239 kes (9.5 peratus),” ujarnya menerusi satu kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Katanya lagi, sebanyak 304 kes (12.0 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara.

“Kes tersebut membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (285 kes), Kluster Pagar Siput (8 kes), Kluster Tembok Mempaga (5 kes), Kluster Pagar Bentong (2 kes), Kluster Tembok Gajah (1 kes), Kluster Tembok (1 kes), Kluster Kolam Air (1 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes),”katanya.

Sementara itu, kata Noor Hisham bilangan kes sembuh COVID-19 hari ini adalah sebanyak 1,481 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 88,941 kes (78.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

“Sehingga kini, terdapat 131 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 60 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita juga dimaklumkan terdapat pertambahan lapan kes kematian COVID-19 pada hari ini melibatkan tiga di Selangor, dua di Johor, dan satu kematian di Kedah, Kelantan dan Negeri Sembilan.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 471 kes (0.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.