Tiga anggota polis jadi penyamun diberkas

148

30 DIS : Tiga anggota polis yang disyaki bersubahat dengan penjual kereta dengan menyamun semula kereta yang telah dijual telah ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tangkap tersebut dibuat setelah polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing yang mendakwa, dua lelaki memakai jaket polis melarikan keretanya jenis Audi TT.

“Berdasarkan laporan tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuat serbuan di sebuah hotel di Sebarang Jaya, Pulau Pinang.

“Hasil serbuan itu,polis menahan ejen kenderaan terbabit, seorang lelaki berusia 28 tahun bersama wanita berusia 28 tahun dan merampas wang tunai RM20,000 disyaki hasil jualan kereta itu serta merampas pelbagai barangan lain.

“Selain itu, polis turut merampas 11 biji pil erimin 5, 14 biji pil berwarna coklat dan pil hijau disyaki dadah bersama kereta jenis Volkswagen dan Perodua Alza,” katanya pada sidang media di Ibu IPD Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Jelasnya, hasil siasatan terhadap lelaki yang ditahan di Seberang Jaya itu akhirnya membawa kepada penahanan dua anggota polis berusia 34 dan 51 tahun di perkarangan IPD Kuala Muda, Kedah, manakala seorang lagi anggota yang berusia 31 tahun di IPD Ipoh, Perak semalam.

“Susulan penangkapan tiga anggota tersebut, polis kemudian membuat serbuan ke atas sebuah rumah teres di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani dan menahan empat lelaki dan dua wanita warga asing berusia 30 hingga 54 tahun,” ujarnya,

Dalam serbuan itu kata Ezanee, pihak polis berjaya menemui semula kereta Audi TT milik mangsa dan turut merampas sejumlah dadah.

“Siasatan berkaitan dadah diserahkan kepada IPD Kuala Muda. Siasatan lanjut kemudian menahan seorang lagi anggota polis lelaki berusia 31 tahun jam 7.10 malam di IPD Ipoh, Perak,” katanya.

Siasatan awal mendapati ejen jualan terbabit mengupah RM1,000 kepada anggota polis untuk berkomplot dengannya melakukan kegiatan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan mereka kini direman bagi membantu siasatan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.