Terpulang mahu makan daging import atau tidak

116

30 DIS: Kerajaan menyerahkan kepada pertimbangan orang ramai sama ada ingin meneruskan memakan daging import atau sebaliknya dengan mengambil kira faktor keyakinan masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta mufti telah memberikan kenyataan dan pandangan masing-masing serta ia telah dibahaskan di Dewan Negara.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, sekiranya masih was-was, mereka perlu menghindarkan apa yang menjadi keraguan kepada apa yang tidak menjadi keraguan.

“Sebahagian daging halal telah disahkan semalam Selasa oleh KPDNHEP dan jawapan itu sudah boleh kita ambil kira. Jadi pandangan yang dikemukakan samahah-samahah, lebih kepada untuk ikhtiar ataupun mengambil jalan berhati-hati.

“Tetapi apabila disahkan oleh sebahagian daripada pihak berwajib yang menyertai dan membuat kajian dan telah masuk dalam Parlimen semalam melalui Dewan Negara dan ada usul khas yang dijawab dengan tuntas oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, ia memberi jawapan yang melegakan kita semua.

“Saya berdoa pada ALLAH SWT supaya isu ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Dana Inspirasi Malaysia di Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yang menyarankan orang ramai agar menggunakan kuasa pengguna dengan tidak memakan daging import khususnya lembu buat sementara waktu, sehingga keyakinan mengenai status halal daging terbabit diperakui sepenuhnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli memberitahu, Jakim telah mengeluarkan pelan tindakan bagi menangani isu keraguan status halal daging import, seterusnya menambah baik kelemahan yang ada dan merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu pengurusan halal.

“Bahagian Pengurusan Halal dan Sekretariat Majlis Halal Malaysia, jabatan berkenaan juga akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan, selain pengimport dan pengedar daging pada awal bulan depan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, beliau telah memberikan sumbangan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) kepada 593 orang pelajar UniSZA, dengan keseluruhan sumbangan bernilai RM296,500.

Program itu adalah hasil kerjasama antara Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia ( YaPEIM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), yang mana sumbangan berbentuk wang tunai akan disalurkan ke akaun universiti bagi membayar yuran pengajian dan lain-lain.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.