KKR perkenal semula kempen Zeropothole

98

30 DIS : Kementerian Kerja Raya (KKR) memperkenalkan semula kempen Zeropothole (Sifar Jalan Berlubang) yang pernah dilaksanakan dari tahun 2016 hingga 2018 untuk memastikan setiap jalan raya yang berlubang akan ditampal dalam tempoh 24 jam.

Menurut KKR dalam satu kenyataan, kementerian bersama enam syarikat konsesi Jalan Persekutuan di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan, akan bekerjasama dan memberi komitmen untuk menggerakkan kempen tersebut.

“Dengan kempen ini, kerja menampal jalan berlubang akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam, iaitu pembaikan sementara susulan penemuan atau aduan kerosakan. Dalam tempoh tiga hari, pembaikan kekal akan dilakukan seperti dalam kontrak Penyelenggaraan Jalan Persekutuan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kerosakan ‘pothole’ merujuk kepada lubang dengan kelebaran di bawah 200 milimeter (mm) hingga 1,000mm dan jika kelebaran lubang adalah di bawah 200mm, teknik tampalan tidak membabitkan potongan tetapi sebaliknya ditampal terus.

Kerajaan juga sudah meluluskan peruntukan RM100 juta dalam Belanjawan 2021 bagi pelaksanaan kerja di Jalan Persekutuan dikenal pasti kata kenyataan itu lagi.

“Sehingga 30 November lalu, KKR mendapati sebanyak 4,091 aduan kategori infrastruktur awam diterima, termasuk 1,473 aduan jalan rosak. Semua aduan sudah diselaraskan dan diambil tindakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“ahun ini hingga Jun lalu pula, 64,000 jalan berlubang sudah direkodkan dan diambil tindakan, manakala sebanyak 200,000 jalan berlubang dikesan dan dibaiki, tahun lalu. T” katanya.

KKR menurut kenyataan itu, sentiasa komited memastikan aduan diterima, diselesaikan dengan segera tanpa mengira status pengadu, malah mengamalkan ‘No Wrong Door Policy’ demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Bermula tahun depan, KKR telah memperuntukkan sebanyak RM1.09 bilion bagi kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan seluruh negara, termasuk bil elektrik, lampu isyarat dan lampu jalan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.