Indeks Harga Pengeluar tempatan turun 3.0 peratus

41

30 DIS: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan turun 3.0 peratus tahun ke tahun pada bulan lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan keseluruhan indeks itu adalah disebabkan penurunan indeks perlombongan (-45.8 peratus), bekalan elektrik dan gas (-0.2 peratus) dan pembuatan (-0.1 peratus).

Sebaliknya, menurut beliau, sektor yang mencatat peningkatan pada bulan itu adalah pertanian, perhutanan dan perikanan (21.5 peratus) dan bekalan air (0.9 peratus).

Bagi perbandingan bulanan, Mohd Uzir memberitahu, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 2.0 peratus pada November.

Beliau menjelaskan, harga yang lebih tinggi dilaporkan oleh empat sektor yang merangkumi pertanian, perhutanan dan perikanan (11.1 peratus), perlombongan (4.4 peratus), pembuatan (0.9 peratus) dan bekalan elektrik dan gas (0.7 peratus) manakala indeks bekalan air tidak mencatatkan sebarang perubahan.

Mohd Uzir berkata, IHPR pengeluaran tempatan bagi tempoh Januari hingga November 2020 turun 2.7 peratus, menyamai perubahan bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020.

Sementara itu, bagi prestasi tahun ke tahun, beliau menambah, IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan mencatatkan penurunan di semua peringkat.

“Bahan mentah untuk diproses selanjutnya turun 12.3 peratus diikuti bahan perantaraan, bekalan dan komponen iaitu 1.0 peratus dan barang siap 0.2 peratus,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.