6 kematian, Johor pertama kali catat kes tertinggi

129

30 DIS : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini merekodkan kes harian baharu sebanyak 1,870 kes, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 110,485 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 22,562 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,868 kes.

“Buat julung kalinya, Johor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 607 kes (32.5 peratus). Peningkatan kes di Johor dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Tembok Choh yang melaporkan sebanyak 374 kes (61.6 peratus).

“Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 472 kes (25.2 peratus) dan Sabah sebanyak 280 kes (15.0 peratus),” ujarnya menerusi kenyataan media harian Covid-19 hari ini.

Katanya lagi, sebanyak 402 kes (21.5 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Choh (374 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (8 kes), Kluster Pagar Bentong (6 kes), Kluster Tembok Mempaga (4 kes), Kluster Tembok (4 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes), Kluster Tembok Gajah (2 kes), dan Kluster Hala Mutiara (1 kes).

Manakala dalam kes sembuh pula, Noor Hisham berkata ingin bilangan kes sembuh COVID-19 hari ini adalah sebanyak 745 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 87,460 kes (79.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

“Sehingga kini, terdapat 131 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan enam kes kematian COVID-19 pada hari ini melibatkan enam di Sabah, satu di Johor dan satu di Selangor, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 463 kes (0.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.