Polis jamin siasat laporan NGO isu kartel daging

85

29 DIS : Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan melakukan siasatan terhadap laporan NGO dan parti politik berhubung sindiket kartel daging haram yang menjadi isu hangat di negara ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador.

Menurut Hamid, pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung sindiket kartel daging import selepas menerima beberapa laporan polis daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu tersebut,

“Saya beri jaminan bahawa pihak polis akan turut menjalankan siasatan terhadap kes ini biarpun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) adalah agensi yang paling layak untuk menyiasat isu berkenaan.

“Kita melihat dari sudut perbuatan, jika benar terbukti perbuatan tersebut menimbulkan kegusaran awam kerana takut termakan daging haram, maka kita beri jaminan untuk siasat perkara ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Operasi Bersepadu Khazanah di Padang Matsirat, Langkawi hari ini.

Isnin lalu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengetuai kumpulan berkenaan membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung isu membabitkan kartel daging.

Pemuda UMNO turut mendesak supaya satu pasukan khas membabitkan PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditubuhkan segera berhubung isu terbabit.

Hari ini, dua lagi NGO iaitu Persatuan Pengimport Daging Halal Malaysia dan Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi berhubung perkara tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.