Galak masjid tubuh koperasi jana pendapatan

133

29 DIS: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menggalakkan pengurusan masjid di seluruh negara menubuhkan koperasi sendiri bagi membolehkan mereka menjana pendapatan menerusi aktiviti perniagaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau juga telah mengarahkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memberi bimbingan kepada ahli-ahli agar dapat mewujudkan koperasi masjid yang boleh memberikan manfaat kepada jemaah masing-masing.

“Kita mahu tiap-tiap ahli lembaga, tiap-tiap ahli pengauditan (koperasi),dan tiap-tiap ahli yang terlibat pentadbiran koperasi diberi latihan secara keseluruhan supaya boleh menjadi koperasi yang maju dan berdaya saing dan juga mengadakan kerjasama dengan Menteri agama untuk kita menjayakan beberapa agenda tertentu.

“Ini termasuk jika pihak masjid mempunyai tanah, kita juga bakal bekerjasama dengan pihak masjid untuk membangunkan tanah bagi mendatangkan hasil kepada mereka. Kita juga membangunkan ahli-ahli yang asnaf yang ada hubung kait dengan masjid dan surau menerusi koperasi dan Insyallah akan dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Koperasi (Pindaan) 2020 dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Negara, Senator Dr Yaakob Sapari ketika perbahasan membangkitkan perancangan kerajaan dalam membangunkan koperasi-koperasi di masjid dan surau.

Dewan Negara meluluskan RUU Cukai Koperasi (Pindaan) 2020 setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Dewan Negara yang bersetuju.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff berkenaan perkembangan Institut Koperasi Malaysia (IKM), Wan Junaidi memberitahu IKM kini di peringkat akhir untuk dijadikan sebuah kolej universiti sebelum dinaik taraf kepada universiti sepenuhnya dalam tempoh satu tahun.

Tambah beliau, sekurang-kurangnya 30 peratus subjek pembelajaran yang dilatih di universiti tersebut merangkumi ilmu pentadbiran dan kewangan koperasi selaras dengan peruntukan undang-undang.

Justeru, beliau menggalakan agar lepasan universiti mendaftarkan diri bersama universiti koperasi bagi menyuntik semangat dan energi baharu di dalam koperasi selain dapat meningkatkan tahap pendidikan ahli-ahli koperasi.

“Kita ingin juga membawa anak-anak muda keluar universiti nanti masuk universiti koperasi bagi memberi semangat baharu dalam koperasi, tenaga baharu dalam koperasi.

“Bukan kita mengatakan orang tua tidak produktif kerana kajian menunjukkan bahawa orang yang lebih produktif di antara 60 hingga 80 tahun bukan umur 18 tetapi energi dan sinergi itu yang kita perlu supaya pengalaman input lama dan baharu itu dapat disatukan dalam koperasi,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.