Dewan Negara bahas isu kartel daging haram

70

29 DIS: Dewan Negara hari ini meluluskan usul untuk membahaskan berkenaan isu kartel daging haram

Usul yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Asmak Husin itu diluluskan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Asmak ketika mengemukan usul memberitahu  usul isu kartel daging haram yang menggunakan logo Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara salah dan berniat menipu mengikut Perkara 17 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

“Saya berpendapat usul ini melibatkan kepentingan orang ramai kerana ia merupakan sumber protein umat Islam yang merupakan majoriti rakyat Malaysia. Bagi masyarakat Islam, makanan halal, haram, shubhah boleh mempengaruhi ibadat, pembangunan fizikal dan keseluruhan amalan kehidupan manusia.

“Ia juga melibatkan nama baik kerajaan khususnya Jakim sebagai pengeluar logo halal yang selama ini diyakini halal dan sucinya, bukan sahaja oleh rakyat Malaysia tetapi juga dikagumi oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, rakyat juga semakin takut dan marah dengan kes ini kerana sehingga hari ini telah tular beberapa jenama yang biasa digunakan rakyat dikatakan terlibat dalam kes ini.

“Telah hampir sebulan siasatan dilakukan dan rakyat menuntut supaya kerajaan menyenaraikan jenama yang terlibat atau sekurang-kurangnya apa-apa laporan awal yang boleh melegakan rakyat.

“Oleh itu, saya menuntut jawapan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atau pihak yang berkepentingan demi membersihkan nama baik negara dan kepentingan umat Islam di negara ini.

Sementara itu, Rais memberitahu perkara itu akan dibahaskan mengikut Peraturan 17(1) dengan pihak pencadang dibenarkan untuk membahas tidak melebihi 30 minit dan pihak kerajaan untuk menjawab dalam tempoh yang sama

Menurut beliau, bagi membolehkan perkara itu ditimbangkan oleh Majlis Mesyuarat, beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Negara hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan itu memenuhi tiga syarat iaitu bahawa perkara itu tertentu, bagi kepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.

“Saya telah meneliti perkara ini, pertamanya benar perkara ini perkara tertentu, kedua didapati kepentingan orang ramai memang wujud dan terlihat ia memerlukan tindakan segera dan pengawasan selain pemahaman orang ramai perlu diberi perhatian setimpal.

“Oleh itu saya membenarkan usul ini dibahaskan dan usul ini saya tempohkan sehingga jam 1 tengah hari ini atau mengikut kesesuaian majlis pada hari ini untuk menempatkan masa atau ruang bahasannya,” katanya. –  Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.