1,925 kes baharu, Pahang catat peningkatan

77

29 DIS : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan sebanyak 1,925 kes harian baharu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 108,615 kes, manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 21,443 kes.  

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 10 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,915 kes.

“Selangor terus melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 747 kes (38.8 peratus), diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 360 kes (18.7 peratus) dan Pahang sebanyak 288 kes (15.0 peratus).

“Peningkatan kes di Pahang dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Tembok Mempaga yang melaporkan sebanyak 282 kes (98.0 peratus),” jelasnya dalam satu kenyataan media harian Covid-19 hari ini.

Katanya lagi, sebanyak 307 kes bersamaan 15.9 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Mempaga (282 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (9 kes), Kluster Tembok Gajah (9 kes), Kluster Tembok (3 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes), dan Kluster GK Tawau (1 kes).

“Pada hari ini bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,123 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 86,715 kes (79.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

“Manakala sehingga kini, terdapat 117 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 55 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita juga dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian COVID-19 pada hari ini di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kelantan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 457 kes bersamaan 0.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.