Sabah mahu tarik lebih ramai pelabur China

62

28 DIS: Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) bakal mengadakan lawatan ke China bagi menarik lebih ramai pelabur ke negeri itu selepas pandemik COVID-19 berakhir.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, Sabah memerlukan bantuan serta sokongan dari China terutamanya dalam sektor pelancongan, pelaburan hartanah, infrastruktur dan pertanian bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kerajaan Sabah akan meningkatkan hubungan baik dan kerjasama dua hala yang sedia terjalin dengan China.

“Hubungan baik antara Sabah dan Malaysia-China telah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak terutama dalam aspek kepentingan perdagangan dan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

hajiji noor
HAJIJI NOOR

Sebelum itu, Hajiji menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

Sementara itu, Caide dalam kenyataan yang sama memberi jaminan pihaknya akan bekerjasama dan menyalurkan bantuan diperlukan Sabah.

Beliau juga yakin Sabah di bawah pimpinan Hajiji mampu memerangi pandemik COVID-19.

Caide turut mempelawa Hajiji untuk melawat China selepas pandemik ini berakhir bagi melihat sendiri potensi pelaburan kedua-dua pihak termasuk dalam bidang teknologi maklumat dan pertanian.

Hajiji dalam pertemuan tersebut mewakili kerajaan negeri merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada kerajaan China atas sumbangan sebanyak 50,000 keping pelitup muka yang disampaikan oleh Caide.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.