Rais tegur Senator ‘hilang’ lepas tekan butang

225

28 DIS: Segelintir Senator didapati ‘hilang’ selepas menandakan kehadiran mereka dalam sidang Dewan Negara yang berlangsung sebelum ini.

Perbuatan mereka itu disedari dan ditegur oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim hari ini.

Beliau yang kesal dengan perbuatan itu berkata, kehadiran para Senator dalam sidang Dewan Negara adalah penting dan bukan setakat pada sesi perbahasan sahaja.

rais yatim
RAIS YATIM

Malah, Rais menegaskan, mereka sepatutnya hadir dalam sesi-sesi lain bagi membolehkan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat dapat dibincangkan dan dibela.

“Telah dibawa ke pengetahuan saya bahawa sebahagian daripada Yang Berhormat (YB) selepas menekan butang dalam dewan ini bagi menandakan kehadiran, tidak lagi dilihat pada hari berkenaan dan amalan ini selepas diteliti harus ditiadakan di dewan ini.

“Kita telah bersumpah akan menumpahkan taat setia serta mempertahankan Perlembagaan, untuk itu kehadiran di dewan ini hendaklah seperti tuntutan semangat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pelantikan selepas majlis mengangkat sumpah Ketua Dewan Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin sebagai Senator baharu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.