Polis siasat klip video hina lagu kebangsaan Indonesia

118

28 DIS : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan ke atas klip video lirik lagu kebangsaan Indonesia yang disunting bertujuan menghina negara tersebut, demikian kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador.

Menurut Hamid, pihaknya tidak akan berkrompomi dengan perkara itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang bertanggungjawab menghasilkan video tersebut.

“Siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan semalam, mengutuk keras tindakan provokasi tersebut yang dilihat cuba menjejaskan hubungan antara negara ini dan Indonesia.

Terdahulu, tular satu klip video dimuat naik dua minggu lalu oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komentar di laman YouTube My Asean, memaparkan lirik lagu kebangsaan Indonesia, ‘Indonesia Raya’, disunting bagi tujuan menghina Indonesia.

Video di ruang komen di YouTube berkenaan dipadamkan, namun video itu dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan di platform media sosial lain di Indonesia, yang menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.