PKPB KL, Selangor dan Sabah sambung 14 hari lagi

183

28 DIS: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur dan Sabah yang dijadualkan tamat pada 31 Disember dilanjutkan lagi sehingga 14 Januari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan pelanjutan PKPB di Selangor sehingga 14 Januari kecuali tiga daerah iaitu Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Langkah itu diambil berikutan peningkatan kes positif COVID-19 sepanjang tempoh 14 Disember hingga semalam.

Ismail sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

Bagi tempoh 14 hari itu, Selangor merekodkan sebanyak 8,194 kes positif COVID-19 baharu dan kesemua sembilan daerah di negeri itu telah menjadi zon merah.

Kuala Lumpur pula mencatatkan sebanyak 4,379 kes positif baharu manakala Sabah merekodkan 3,243 kes baharu dalam masa 14 hari lalu.

Sementara itu, di Pulau Pinang, PKPB Mukim 12, Barat Daya dan Mukim 13, Timur Laut dilanjutkan sehingga 14 Januari ini.

Di Perak, PKPB di kawasan Ipoh dan Chemor ditamatkan hari ini, lebih awal daripada yang dijadualka pada 31 Disember ini.

Walau bagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Depot Tahanan Imigresen Langkap dan kuarters kakitangnya yang sepatutnya tamat pada 31 Disember dilanjutkan sehingga 14 Januari.

PKPD turut dilaksanakan di Madrasah Daril Naim, Kota Bharu, Kelantan mulai esok hingga 11 Januari setelah ujian saringan mendapati 29 kes positif COVID-19.

Di Negeri Sembilan, PKPB di Seremban dilanjutkan lagi sehingga 14 Januari manakala PKPB di Port Dickson ditamatkan hari ini, lebih awal daripada yang dijadualkan.

PKPD Penjara Seremban dan kuarters yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember juga ditamatkan lebih awal hari ini.

Di Johor, PKPB di Johor Bahru dan Batu Pahat dilanjutkan sehingga 14 Januari manakala PKPB di Kulai tamat hari ini.

Namun, PKPD Penjara Kluang dan kuartersnya yang dijadualkan tamat pada 31 Disember disambung lagi sehingga 14 Januari.

Dalam pada itu, di Sabah, PKPD Kampung Dasar Baru dan Kampung Desa Bajau, Lahad Datu ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

Kampung Paginatan dan Kampung Maringkan di Ranau pula dikenakan PKPD mulai esok hingga 11 Januari. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.