Permit import daging halal dikawal ketat

136

28 DIS: Dakwaan pengeluaran permit secara tidak terkawal sehingga menyebabkan berlaku penipuan dalam import daging halal adalah tidak benar memandangkan proses itu dijalankan secara ketat dan dikawal selia oleh pelbagai kementerian.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sedang melaksanakan siasatan terperinci bersama agensi-agensi terlibat terhadap penyeludupan daging haram oleh kartel yang kini menjadi kerisauan dan keraguan umat Islam di negara ini.

“JKDM hanya menguat kuasa kawalan import dan eksport di sempadan dan pengeluaran permit adalah tertakluk kepada kawalan selia agensi berkaitan dan antara agensi yang mengawal selia produk secara langsung seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan lain-lain.

“Justeru, berhubung isu ini, JKDM telah melaksanakan siasatan bersama agensi-agensi kerajaan dan penguatkuasaan lain seeprti MAQIS dan KPDNKK dan proses siasatan masih berjalan dan akan kita akan dapat maklumat sekiranya siasatan selesai,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kastam (Pindaan) 2020 dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

abd rahim bakri
ABDUL RAHIM BAKRI

Terdahulu, Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Apandi Mohamad dalam perbahasannya berpandangan, isu penyeludupan daging import yang didakwa dikuasai kartel mungkin disebabkan pengeluaran permit yang tidak terkawal justeru penguatkuasaan perlu dipertingkatkan.

Dewan Negara meluluskan RUU Kastam (Pindaan) 2020 setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Dewan Negara yang bersetuju.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk A Kesavadas tentang keperluan kerajaan menubuhkan ejen provokasi, Abdul Rahim memberitahu amat penting pasukan ini ditubuhkan bagi menjadi perisik yang dapat membantu penguatkuasa kastam mendapatkan maklumat daripada penjenayah.

Tambah beliau, menerusi pendekatan sedemikian, keberkesanan KDRM ketika menjalankan operasi atau serbuan berupaya ditingkatkan, manakala hasil intipan serta risikan membabitkan ejen provokasi akan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Ini penting bagi mendapatkan maklumat khususnya mereka (penjenayah) yang cuba mengagalkan penguatkuasaan kastam dan pengintipan-pengintipan ini penting bagi membolehkan kita mengambil tindakan dengan lebih berkesan.

“Oleh itu, Akta Seksyen 116 ini, kerajaan menyediakan peruntukan ejen provokasi di mana keterangan ini dapat digunakan dalam perbicaraan dan peruntukan ini sekurang-kurangnya dapat memastikan bahawa ejen ini dapat memberi kerjasama berkesan dan memastikan penguatkuasaan dibuat pihak kastam bertambah baik,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.