Lebihan dagangan Malaysia melonjak lebih 150 peratus

49

28 DIS: Lebihan dagangan Malaysia meningkat 151.6 peratus dari tahun ke tahun kepada RM16.82 bilion pada bulan lepas, sekali gus lebihan dagangan tertinggi bagi bulan November yang direkodkan setakat ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, nilai eksport melonjak 4.3 peratus kepada RM84.43 bilion berbanding bulan sama tahun lalu, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun bagi tiga bulan berturut-turut.

Menurut MITI, nilai import pula susut sembilan peratus kepada RM67.61 bilion manakala jumlah perdagangan merosot dua peratus kepada RM152.04 bilion.

Sepanjang tempoh 11 bulan pertama tahun 2020, lebihan dagangan merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 23.1 peratus kepada RM163.86 bilion berbanding tempoh sama pada 2019.

“Jumlah perdagangan bernilai RM1.606 trilion, berkurangan 4.6 peratus. Eksport bernilai RM885.02 bilion, susut 2.6 peratus manakala import merosot tujuh peratus kepada RM721.16 bilion,” jelas kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Berbanding Oktober 2020, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan, masing-masing berkurangan sebanyak 5 peratus, 7.3 peratus, 1.9 peratus dan 24 peratus.

Berhubung prestasi eksport yang lebih baik bulan lalu, MITI berkata, keadaan itu disokong oleh pertambahan eksport ke Amerika Syarikat (AS), Singapura, China dan Hong Kong.

Eksport barangan perkilangan menyumbang kepada 88.1 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 8.1 peratus tahun ke tahun kepada RM74.34 bilion.

“Pertumbuhan ini disokong oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta produk getah,” kata MITI.

MITI memberitahu, eksport produk getah mencatatkan prestasi yang kukuh dengan pertumbuhan 13 bulan berturut-turut.

Eksport yang lebih tinggi turut direkodkan bagi barangan perkilangan lain terutamanya solid-state storage devices (SSD), barangan kayu serta barangan optik dan saintifik.

Sementara itu, eksport keluaran pertanian (6.7 peratus syer) meningkat enam peratus kepada RM5.65 bilion berbanding setahun yang lalu, dipacu terutamanya oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Eksport hasil galian (4.9 peratus syer) menguncup 34.6 peratus tahun ke tahun kepada RM4.15 bilion berikutan pengurangan eksport gas asli cecair (LNG), petroleum mentah serta petroleum kondensat dan minyak petroleum lain.

Perdagangan dengan ASEAN pada November 2020 berjumlah RM38.77 bilion atau 25.5 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, berkurangan 7.2 peratus berbanding November 2019.

Eksport susut 2.2 peratus kepada RM23.46 bilion disebabkan penurunan eksport keluaran petroleum, barangan besi dan keluli serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

“Eksport barangan E&E yang meningkat sebanyak 36.6 peratus atau RM2.6 bilion telah mengimbangi penurunan ini, manakala import dari ASEAN susut 13.9 peratus kepada RM15.31 bilion,” jelas MITI.

Eksport ke China merekodkan pertumbuhan dua digit iaitu sebanyak 13.2 peratus kepada RM14.23 bilion disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport barangan E&E.

MITI berkata eksport ke AS merekodkan pertumbuhan dua digit selama enam bulan berturut-turut, melonjak 24.6 peratus kepada RM9.76 bilion pada November 2020, terutamanya untuk produk getah, barangan E&E dan barangan kayu.

Sementara itu, eksport ke Kesatuan Eropah terus mencatatkan kenaikan bagi tiga bulan berturut-turut, berkembang 7.1 peratus kepada RM6.89 bilion disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport produk getah.

Kata MITI, eksport ke Jepun naik 3.5 peratus kepada RM5.26 bilion setelah mencatatkan pengurangan tahun ke tahun bagi empat bulan berturut-turut.

“Pertumbuhan ini telah disumbangkan oleh kenaikan eksport produk getah, barangan E&E, petroleum mentah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan optik dan saintifik,” kata kementerian itu.

Eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) berjumlah RM58.04 bilion, naik 3.6 peratus dengan eksport yang lebih tinggi dicatatkan ke Turki (26.2 peratus), diikuti Pakistan (17.9 peratus) New Zealand (12.4 peratus), Chile (82.2 peratus) dan India (1.1 peratus).Leb

Get real time updates directly on you device, subscribe now.