Keputusan tubuh RCI kartel daging umum minggu depan

224

28 DIS: Kerajaan akan mengumumkan keputusan muktamad sama ada perlu atau tidak ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu kartel daging lembu import haram dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau belum dapat memberi maklum balas tentang RCI tersebut ketika ini.

“Saya tidak kata perlu atau tidak kerana perkara ini saya perlu dalami secara lebih baik lagi. Saya tidak akan mengambil masa lama insya Allah dalam masa dua atau tiga hari lagi atau seminggu ini saya akan umumkan untuk kita tengok respon dan maklumat dan apakah perkara yang kita boleh kita tangan terlebih dahulu insya Allah.

“Perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah dibuat hari ini manakala dengan kementerian lain akan dibuat oleh sahabat kami dari semasa ke masa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat sebuah gudang penyimpanan daging import halal di Kuala Lumpur, hari ini.

Pelbagai pihak termasuk Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan menubuhkan pasukan siasatan khas berhubung isu kartel import daging menggunakan logo halal palsu.

Malah, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta kerajaan mendedahkan nama syarikat dan jenama yang terbabit dalam skandal tersebut.

Beliau juga memberi jaminan bahawa isu kartel daging lembu import haram akan diselesaikan kementeriannya secepat mungkin.

“Kami akan duduk semeja dahulu dengan JAKIM, dengan Halal JAKIM dan beberapa kementerian untuk melihat di mana kelemahan untuk kita baiki.

“Saya janji tindakan segera akan diambil dalam piawaian dan bidang kuasa JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) di samping kita berkerjasama erat dengan kementerian lain insya-Allah secara bersepadu.

“Selepas itu baru kita tahu apa penyakit-penyakit yang perlu diubati khususnya dalam isu pengimportan daging sama ada ikut prosedur operasi standard halal atau tidak,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.