Kedah Tidak Bercadang Buka Pintu Sempadan Malaysia-Thai

114

28 DIS : Kerajaan negeri Kedah tidak bercadang untuk membuka pintu sempadan Malaysia-Thailand bagi tujuan pelancongan setakat ini, kerana bimbang akan mengundang risiko penularan jangkitan Covid-19, memandangkan kes positif Covid-19 di Thailand kini semakin meningkat.

Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, trend peningkatan jangkitan Covid-19 di negara jiran itu dibimbangi akan merebak ke negeri tersebut sekiranya pintu sempadan dibuka.

“Setakat ini kerajaan kedah masih belum bersedia lagi untuk mencadangkan pintu sempadan kita dibuka di tanah besar. Ini disebabkan jangkitan Covid-19 di negara jiran kita dilaporkan semakin meningkat dan difahamkan ia berpunca daripada orang Myanmar yang bekerja dalam sektor industri di negara itu.

“Risiko seperti ini yang kita tak mahu, jika pelancong dari sana seperti dari Satun ke Langkawi pun kita belum bersedia,” katanya kepada pemberita selepas program Kayuhan Belia Sejahtera di Kompleks PAS Sungai Pau, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bahawa kerajaan mempertimbangkan untuk membuka sempadan negara bagi membantu merancakkan sektor pelancongan.

Nancy dilaporkan berkata, pihaknya kini di peringkat mengadakan rundingan dengan negara-negara seperti Singapura, Brunei, Korea, Jepun, Taiwan dan New Zealand yang dikenal pasti sebagai kawasan zon hijau.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi, berkata pihaknya berharap agar kerajaan membenarkan pelancong antarabangsa dari negara berisiko rendah COVID-19 ke Langkawi bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di pulau itu.

Jelas beliau, cadangan tersebut sudah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membawa pelancong antarabangsa dari negara yang berisiko rendah ke Langkawi menerusi Program Gelembung Pelancongan (Bubble Tourism) Qatar Airways.

“Qatar Airways akan menyusun pakej pelancongan bersama pihak hotel selain memastikan pelancong antarabangsa ini tidak bercampur dengan pelancong tempatan.

“Syarikat penerbangan terbabit bersedia membentuk sistem untuk membuat saringan kepada pelancong sebelum mereka bertolak terus ke Langkawi.

“Perdana Menteri sudahpun meminta MKN mengkaji cadangan tersebut dan memandang serius perkara ini dalam usaha membantu sektor pelancongan,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.