Isu Kartel Daging: Pemuda UMNO buat laporan polis

120

28 DIS: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wang, Kuala Lumpur berhubung dengan pendedahan media berkaitan kegiatan kartel penyeludupan daging import haram.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendedahan ini telah menimbulkan keresahan dan kegusaran di kalangan masyarakat khususnya umat Islam, yang didakwa sudah berlaku sejak 40 tahun lalu.

Katanya lagi, Pemuda UMNO juga telah memperolehi beberapa maklumat penting yang berhubung agensi Kerajaan yang terlibat secara langsung dalam aspek pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan dalam urusan pemprosesan daging, rumah sembelih dan loji pemprosesan hasilan haiwan di luar negara.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, urusan pemantauan, pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap pemprosesan daging di luar negara melibatkan beberapa agensi termasuk yang utamanya Jabatan Pemeriksaan Veterinar (DVS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Manakala bagi aspek keselamatan makanan halal pula, beberapa agensi lain juga terlibat bersama JAKIM seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Bahagian Penguatkuasaan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FOSIM),” ujarnya,

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas selesai membuat laporan polis sebentar tadi.



Tambahnya, berikutan banyak agensi dan institusi yang terlibat dalam urusan kawal-selia, pensijilan, pemeriksaan dan penguatkuasan industri Halal di negara ini, maka Pemuda UMNO mendesak kerajaan segera menubuhkan pasukan khas yang turut disertai PDRM dan SPRM bagi menjalan siasatan secara pantas dan bersepadu.

Asyraf berkata, terdapat beberapa persoalan yang rakyat berhak mendapatkan maklumat yang tepat dan jelas mengenai isu kartel daging haram ini.

“Persoalan-persoalan siapakah dalang yang bertanggungjawab menguruskan proses import daging sejuk beku yang diragui status halalnya,mengapakah berlakunya monopoli kilang pemprosesan daging halal terutamanya di China, Thailand dan India?

“Dan kenapakah Jabatan Pemeriksaan Veterinar (DVS) hanya menghadkan beberapa kilang sahaja di China, India dan Thailand untuk mengeksport ayam dan daging ke Malaysia?,

“Kesemua persoalan ini perlu dijawab dan didedahkan agar rakyat tahu siapa dalangnya dalam isu kartel daging haram ini,” tegasnya.

Pemuda UMNO juga mahu tahu apakah pemeriksaan secara berkala setiap tahun untuk memastikan status Halal, kesihatan (pencegahan penyakit berjangkit daripada binatang) dan kebersihan kilang-kilang yang diberikan kelulusan status halalnya dilakukan oleh DVS dan Jakim.

“Daripada maklumat yang Pemuda UMNO perolehi, kali terakhir dua kilang utama yang membekalkan daging ayam di China dibuat pemeriksaan adalah pada 20 Januari 2016 setelah mendapat pensijilan.

“Apakah benar DVS tidak pernah mengeluarkan sebarang Permit Import (AP) ekor lembu (Oxtail)? Apakah status halal ekor lembu yang begitu banyak berada di pasaran tempatan yang dikatakan kebanyakannya diimport dari luar negara terutamanya dari Argentina?,” katanya.

Justeru, beliau berkata Pemuda UMNO mendesak agar siasatan segera secara bersepadu dilakukan bagi segera mendakwa dan mendedahkan individu dan syarikat yang disyaki terlibat  dalam segala bentuk penyelewengan termasuk rasuah.

“Pemuda UMNO menuntut agar siasatan secara telus dan pantas dilakukan agar keyakinan dan kepercayaan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap logo Halal Malaysia dapat segera dipulihkan dan dipelihara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.