COVID-19 tak halang usaha perkasa sektor awam

62

28 DIS: Cabaran menghapuskan wabak COVID-19 tidak menghalang usaha pemerkasaan sektor awam yang merupakan salah satu daripada agenda utama kerajaan untuk memastikan sistem perkhidmatan yang cekap, telus dan mesra rakyat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tanggungjawab kerajaan kini adalah untuk membudayakan norma baharu dalam cara kerja supaya perkhidmatan tetap dapat disampaikan secara efektif kepada golongan bersasar di samping meningkatkan produktiviti kerja.

Di peringkat kerajaan, bagi memastikan kecekapan dan ketelusan pengurusan pentadbiran, beliau sendiri telah menekankan inisiatif untuk menambah baik aspek integriti dan tadbir urus kerajaan yang dilakukan misalnya melalui usaha membanteras amalan rasuah.

“Oleh kerana pihak berkuasa tempatan atau PBT merupakan antara warga kerja barisan hadapan yang sering terdedah dengan tarikan rasuah, maka usaha membanteras jenayah ini perlu kekal sebagai agenda penting yang perlu dilaksanakan meluas dalam kalangan penjawat PBT.

“Ini agar kita dapat mewujudkan sebuah budaya kerja yang berintegriti tanpa berkompromi dengan mana-mana nilai dan etika,” katanya ketika berucap secara maya merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) kali ke-27 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Presiden ANULAE Semenanjung Malaysia, Datuk Azih Muda dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat.

Perdana Menteri turut menyeru agar PBT dan agensi yang berkaitan dapat turun ke lapangan dengan lebih kerap untuk meninjau dan memahami keadaan semasa dan meneliti isu-isu berhubung warga kakitangan mereka yang saban masa bertemu dengan orang ramai untuk menyelesaikan urusan seharian.

Beliau juga sedar dan prihatin terhadap kebajikan para penjawat awam termasuk barisan petugas hadapan yang turut menjadi sebahagian daripada anggota kakitangan awam yang menggadaikan masa dan tenaga untuk melindungi kita sewaktu pandemik ini.

“Oleh sebab itu, sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan sumbangan penjawat awam, beberapa inisiatif telah diumumkan baru-baru ini menerusi Belanjawan 2021 seperti bantuan khas secara one-off sebanyak RM600 kepada kakitangan awam dengan gred 56 dan ke bawah.

“Manakala pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen layak mendapat elaun sebanyak RM300,” jelasnya.

Muhyiddin menambah, petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan juga diberi bantuan sekali bayar sebanyak RM500 sebagai tambahan kepada elaun khas COVID-19 sebanyak RM600 yang telah diberikan kepada mereka semenjak Mac atas usaha menangani COVID-19.

“Petugas barisan hadapan lain yang layak berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pula akan menerima elaun sebanyak RM300,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.