Tolonglah jangan tipu status kesihatan depan doktor

97

27 DIS: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merayu kepada orang ramai supaya tidak menipu dan menyembunyikan status kesihatan mereka ketika berurusan dengan petugas barisan hadapan.

Beliau berkata demikian sebagai pesanan kepada orang awam berikutan seorang doktor dijangkiti COVID-19 selepas merawat pesakit yang tidak berterus terang mengenai status sebenar kesihatannya.

“Jangan tipu frontliners. Kami juga perlu dilindungi, kami ada keluarga, ada rakan-rakan. Jangan aniaya frontliners,” kata Dr Noor Hisham dalam hantaran Facebook miliknya.

Dr Noor Hisham turut berkongsi kenyataan daripada doktor yang dijangkiti virus itu.

Dr Nur Marini Zainal dalam satu perkongsian menerusi laman Facebook miliknya melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan penipuan dilakukan pesakit berkenaan yang akhirnya menyusahkan banyak pihak termasuk dirinya yang turut menjadi mangsa COVID-19.

“Seorang pesakit telah datang ke hospital dan telah disaring di pintu masuk jabatan sebelum menjalani pemeriksaan CT scan. Suhu normal. Pesakit mengaku sihat dan dibenarkan masuk.

“Saya merupakan doktor yang menyediakan pesakit ini untuk scan (penerangan prosedur, pemasangan IV branula dan sebagainya). Terkejutnya kami bila melihat gambar paru-parunya di CT sama seperti paru-paru pesakit COVID-19.

“Bila ditanya semula, akhirnya dia mengaku yang dia batuk dan demam selama seminggu, tetapi berasa sedikit sihat untuk datang ke temujanji CT. Allahu,” katanya.

Dr Nur Marini berkata, tindakan pesakit berkenaan menyebabkan kesusahan kepada orang lain kerana selepas dua hari dia disahkan positif COVID-19.

“Pada mulanya saya dikategorikan sebagai kontak risiko rendah, sebab kedua-dua nya memakai surgical masks (bagi pesakit berisiko rendah), dan pesakit tidak batuk di hadapan saya. Cuma jarak tak dapat dielakkan kerana terpaksa menyediakan saluran IV untuknya sebelum CT scan. Masa kontak tidak lama, lebih kurang lima ke 15 minit.

“Saya mengamalkan hand hygiene mengikut SOP sebab saya memang paranoid untuk penggunaan PPE penuh, hanya bagi petugas yang merawat pesakit berisiko tinggi, kerana stok PPE adalah terhad.

“Saya diberitahu bahawa tiada kuarantin atau swab diperlukan buat masa sekarang. Tetapi hati ini kurang senang, saya ambil keputusan untuk menjalani swab di hospital lain.

“Saya mengambil keputusan untuk kuarantin sendiri walaupun tidak bergejala. Namun sempat bekerja selama dua hari di jabatan, sebelum kuarantin. Keputusan swab mendapati saya positif. Saya menangis semasa dapat tahu.. sebab… Sedih terpaksa terpisah dengan anak-anak dan suami…Risau terhadap keluarga dan rakan sekerja yang mungkin saya jangkiti,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.