Segera dedah jenama daging halal tiruan – DPMMNJ

223

27 DIS: Jenama daging yang terbabit dengan kartel penipuan label halal mesti didedahkan segera bagi mengelakkan umat Islam di negara ini daripada terus membeli produk tersebut.

Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor (DPMMNJ), Muhammed Farhan Basheer berkata, selama ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan persatuan pengguna kerap mendedahkan pelbagai jenama makanan atau produk yang memalsukan tanda halal, mengandungi lemak babi atau mengelirukan pengguna Islam dengan jenama yang Islamik.

“Kami ada senarai sekurang-kurangnya enam jenama daging terbabit tetapi kerajaan yang sewajarnya mendedahkan perkara berkenaan.

“Kerajaan juga perlu mengheret pihak yang terbabit dengan kartel ini ke mahkamah dan penguatkuasaan mesti dipertingkatkan bagi memastikan kegiatan seperti ini dibanteras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, DPMMNJ turut menyarankan kerajaan memperhalusi cadangan supaya hanya membenarkan import ternakan hidup bagi menamatkan kegiatan kartel serta jaminan bekalan daging halal yang berkualiti.

Mohammed Farhan menambah, lembu, kambing atau kerbau import akan disembelih di rumah sembelihan milik jabatan atau persendirian yang mempunyai pensijilan halal.

“Selepas itu ia diproses, disejuk beku dan disimpan sebelum diedarkan ke pasaran domestik. Dengan ini, kita akan mendapat jaminan bekalan daging halal serta berkualiti.

“Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan ekosistem bagi rantaian bekalan daging halal bersepadu serta penggunaan logo dan jenama khas untuk produk daging halal di negara ini,” jelasnya.

Beliau berkata, sekretariat DPMMNJ juga akan mengenal pasti ahlinya yang terbabit dengan pembekalan daging di seluruh negara dan memperoleh maklumat berkaitan untuk rekod.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, Mohd Azmi Abdul Hamid menggesa kerajaan menjalankan siasatan dan tindakan tegas diambil terhadap siapapun yang terbabit dalam pemalsuan sijil dan logo halal.

Beliau berkata, siasatan juga harus dapat mendedahkan bagaimana sistem kawalan sedia ada boleh lebih kebal rasuah demi menjaga integriti negara.

Bagaimanapun, Mohd Azmi menegaskan, pihak berwajib tidak seharusnya cuai dengan tanggungjawab diamanahkan untuk memastikan tidak ada syarikat kartel mengambil peluang ke atas urusan import daging halal.

“Sepatutnya kawalan jauh lebih berkesan perlu diwujudkan membabitkan kemasukan bekalan daging bagi mengesan mana-mana kebocoran dalam sistem, selain mengawasi faktor kelemahan faktor manusia.

“Pengawasan operasi syarikat kartel daging lembu juga perlu diawasi secara sangat terperinci supaya tidak berlaku sebarang manipulasi label dan syarat membawa masuk daging tidak halal sebagai daging halal,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, beliau berkata, isu ini harus menjadi pengajaran kepada semua pihak bahawa kebergantungan kepada sumber luar negara pasti akan membawa risiko kepada penyelewengan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.