PDRM tahan 456 individu langgar PKP

79

27 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 456 individu termasuk 421 dikompaun, 34 direman dan seorang dijamin kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (170), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (167), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (67) tidak memakai pelitup muka (45) dan lain-lain (tujuh).

Beliau berkata, pihak berkuasa juga menahan menahan 57 pendatang tanpa izin (PATI) dan merampas tiga kenderaan darat dalam Ops Benteng dijalankan di seluruh negara semalam.

“Seramai 93,070 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dari 36 negara telah ditempatkan di 75 Hotel dan 17 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Melaka, sejak 24 Julai sehingga 26 Disember lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,125 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 536 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 85,409 individu telah dibenarkan pulang,” katanya kenyataan media, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga mengesahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah mengawal selia dan melakukan 13,074 operasi sanitasi merangkumi 137 zon, sejak 30 Mac lalu

Beliau berkata sebanyak 14,726 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,938 pusat perniagaan, 1,694 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,944 tempat awam, 357 pasar raya dan 6,793 bangunan kerajaan.

“Semalam (26 Disember 2020), sebanyak 19 operasi sanitasi meliputi tujuh Zon Merah, dua Zon Jingga, lima Zon Kuning dan dua Zon Hijau yang melibatkan sembilan negeri iaitu Melaka (empat operasi), masing-masing dua operasi di Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan, Perak, serta satu operasi sanitasi di Selangor,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.