Nilai jualan rumah PR1MA cecah RM1.9 bilion

93

27 DIS: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin gembira kerana jualan kediaman di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tahun ini mencecah RM1.9 bilion berbanding RM1.3 bilion pada 2019.

Beliau berkata, rumah PR1MA terus mendapat permintaan rakyat dan jualannya terus merekodkan perkembangan memberangsangkan namun pembinaannya sedikit terjejas ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berikutan penularan wabak COVID-19.

“Industri perumahan dalam rekod KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) masih mencapai jualan yang memberangsangkan. Cuma masalahnya, apabila pembinaan tidak dapat dijalankan ketika tempoh PKP sejak Mac hingga Jun lalu… itu yang terlengah sedikit,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Tapak Residensi Bukit Gelugor di Pulau Pinang hari ini.

Bagaimanapun, Zuraida berkata sasaran kementerian untuk membina sebanyak 200,000 unit rumah PR1MA dalam tempoh dua tahun tetap dapat direalisasikan.

“Kita berjaya membina rumah dari tahun 2018 sehingga sekarang (2020). Kita telah siap membina sebanyak 55,000 unit, manakala 150,000 lagi masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2021,” katanya.

Mengenai projek perumahan PR1MA Residensi Bukit Gelugor itu, Zuraida berkata ia adalah projek pertama di negeri ini yang dilancarkan selepas penularan wabak COVID-19.

“Kita harap projek ini akan dapat membantu kerajaan negeri Pulau Pinang dalam mencapai sasaran mereka untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.