Lepas tular mencarut, CEO TH Properties minta maaf

4,122

27 DIS: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Properties Sdn Bhd, Damanhuri Mahmod memohon maaf kerana tindakannya mengeluarkan kata-kata kurang sopan seperti dipaparkan dalam video yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.

Berikutan itu, beliau berkata, TH Properties memberi jaminan akan berubah ke arah lebih positif ke arah mewujudkan persekitaran kerja lebih harmoni dalam kalangan kakitanganya.

“Saya mohon maaf. Kami akan berusaha untuk berubah ke arah yang lebih positif untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih harmoni bagi warga TH Properties,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini tular satu video berdurasi hampir tiga minit menerusi media sosial memaparkan Damanhuri mengeluarkan kata-kata kurang sopan dalam satu mesyuarat yang dipercayai melibatkan kakitangan pentadbiran syarikat hartanah berkenaan.

Dalam kenyataan sama, TH Properties kesal dengan pengambilan dan penyebaran video mesyuarat yang hanya melibatkan kakitangan pengurusan terpilih itu kerana jelas bertentangan dengan polisi syarikat.

Media semalam melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, dipetik sebagai berkata, tindakan seorang pemimpin tertinggi sebuah anak syarikat Tabung Haji (TH) yang mengeluarkan kata-kata kurang sopan seperti dipaparkan video yang kini tular, tidak mewakili imej sebenar syarikat itu.

Sebaliknya, beliau berkata, tindakan itu adalah kesalahan peribadi individu berkenaan.

Beliau sendiri sudah menonton video yang tular itu dan TH Propertie juga sudah mengeluarkan kenyataan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif sudah memohon maaf atas kata-kata kurang sopan yang dikeluarkan.

Namun, beliau percaya ada keperluan untuk isu berkenaan disiasat bagi mengenal pasti dalang di sebalik kebocoran rakaman video itu.

“Mesyuarat itu diadakan secara tertutup dan kita tidak tahu bagaimana video itu boleh bocor sehingga tular di media sosial.

“Barangkali ada perkara perlu dilakukan siasatan secara menyeluruh dan di peringkat pelaksanaan tetap perlu ada siasatan dalaman untuk mengetahui apa yang berlaku dari segi pentadbiran,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.