KM P. Pinang pandang remeh Kedah tuntut caj air

111

27 DIS: Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak takut dengan amaran Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor untuk mengambil tindakan undang-undang berikutan keengganan mereka membayar caj air mentah.

Sebaliknya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang tindakan yang akan diambil kerajaan negeri Kedah berhubung isu tersebut.

Malah, beliau melihat isu itu tidak serius kerana tiada tuntutan rasmi dibuat di mahkamah dan hanya sekadar kenyataan menerusi media sahaja.

“Kita akan lihat apa tindakan negeri Kedah sebab sekarang cuma sekadar cakap-cakap dalam surat khabar sahaja dan tiada apa-apa yang rasmi.

“Sebelum ini Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berharap kedua-dua negeri mengadakan perbincangan tetapi nampaknya Menteri Besar Kedah, tidak setuju dengan pandangan menteri.

“Pulau Pinang menawarkan untuk memberi sumbangan kewangan atas pengorbanan Kedah untuk tidak meneroka kawasan tadahan air di Ulu Muda, tetapi Menteri Besar Kedah juga tidak berminat sebaliknya tetap mahu menuntut caj air mentah yang sememangnya kita tidak bersetuju,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di Pulau Pinang hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kedah dilaporkan tidak menolak kemungkinan membawa isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang ke mahkamah sekiranya masalah itu tidak dapat diselesaikan.

Jika gagal diselesai di meja rundingan, tidak mustahil kerajaan negeri Kedah akan meminta kerajaan Persekutuan campur tangan jika Pulau Pinang tetap enggan menerima pelawaan kerajaan negeri Kedah untuk berunding.

Muhammad Sanusi menegaskan, Kedah tetap mahukan bayaran caj air mentah dari Sungai Muda yang mengalir ke Pulau Pinang dan bukannya bayaran berbentuk sumbangan daripada kerajaan negeri terbabit.

Difahamkan kerajaan negeri Kedah berhasrat menetapkan caj 10 sen bagi setiap satu meter padu air mentah itu, namun bersedia berunding dengan kerajaan Pulau Pinang mengenai harga berkenaan.

Berikutan itu, kerajaan negeri Kedah menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah dari Sungai Muda sebanyak RM50 juta setahun sejak 2010 namun tiada sebarang tindakan dibuat oleh pihak berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.