ADUN Dengkil sah positif jangkitan COVID-19

102

27 DIS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah, mengesahkan dirinya positif COVID-19 selepas menjadi kontak rapat kepada pemandunya.

Adhif Syan menjelaskan beliau pada mulanya membawa pemandu peribadinya yang demam sejak dua hari lalu ke klinik kelmarin di mana saringan COVID-19 mengesahkan keputusannya positif semalam.

“Dukacita dimaklumkan, petang tadi (26 Disember 2020), saya telah didapati positif dijangkiti COVID-19.

“Untuk pengetahuan, saya hadir ke hospital untuk saringan semalam selepas mendapati pemandu saya mengalami simptom demam sejak dua hari yg lalu.

“Beliau, bersama-sama saya, telah membuat ujian swab sebagai langkah berjaga-jaga semalam sejurus selesai urusan kerja harian dan hari ini disahkan positif oleh pihak hospital,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

Bagaimanapun, Adhif Syan menjelaskan keadaan beliau dan pemandunya kini stabil dan akan dibawa ke hospital hari ini untuk menjalani rawatan lanjut.

“Alhamdulillah, ketika ini, kami masih dalam keadaan stabil dan akan dibawa ke hospital esok oleh KKM untuk menjalani kuarantin dan rawatan.

“Kementerian Kesihatan serta pihak berkuasa lain telah dimaklumkan dan semua kontak rapat saya telah dikesan dan disaring mengikut SOP yg telah ditetapkan. Orang ramai di nasihatkan untuk memberi kerjasama jika diminta oleh pihak berkuasa,” katanya.

Justeru, Adhif Syan berkata, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Dengkil akan ditutup selama 14 hari untuk operasi nyah cemar dan sebagai langkah berjaga-jaga. Seluruh staf PKM saya turut akan menjalani kuarantin kendiri dirumah masing-masing selepas menjalani saringan.

“Dengan izin Allah SWT serta berkat doa tuan-tuan dan puan-puan, insya-Allah kami akan dapat mengharungi dugaan ini dan kembali semula untuk berkhidmat segera dengan lebih berdedikasi.

“Saya memohon maaf jika mendatangkan sebarang kesulitan dan akan memaklumkan perkembangan keadaan kesihatan saya serta pengoperasian PKM dari masa ke semasa.

“Sementara itu, jika terdapat sebarang urusan, orang ramai boleh menghubungi pejabat saya melalui emel: [email protected]

“Pada masa sama, jika anda mempunyai sebarang soalan berkaitan jangkitan COVID-19, boleh terus hubungi Pejabat Kesihatan Daerah Sepang,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.