1,196 kes baharu, 20,233 kes aktif seluruh negara

92

27 DIS: Sebanyak 1,196 kes baharu dikesan hari ini sekali gus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 105,096 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 20,233 kes.

Menurut beliau, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,191 kes.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 392 kes (32.8 peratus).

“Daripada jumlah ini, sebanyak 237 kes (60.5 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 202 kes (16.9 peratus) dan Johor sebanyak 194 kes (16.2 peratus),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, sebanyak 52 kes (4.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Pagar Siput (15 kes), Kluster Tembok Gajah (14 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (13 kes), Kluster Tembok (8 kes), Kluster Hala Mutiara (1 kes) dan Kluster Penjara Sandakan (1 kes).

Beliau turut melaporkan satu kematian akibat COVID-19 hari ini, melibatkan seorang lelaki rakyat tempatan berusia 71 tahun yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Secara keseluruhan, sebanyak 452 pesakit meninggal dunia akibat COVID-19 di negara ini, menyamai 0.423 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 111 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 50 kes memerlukan bantuan pernafasan,” jelasnya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 997 kes sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 84,411 kes iaitu 80.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.