Video pesakit Covid-19 di Stadium Shah Alam palsu

106

26 DIS: Satu video klip yang mendakwa kononnya Stadium Tertutup Shah Alam dijadikan tempat pesakit COVID-19 susulan kesesakan di Hospital Sungai Buloh adalah  tidak benar.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata pihaknya mengesan satu video berdurasi 32 saat yang ditularkan menerusi media sosial yang memaparkan sekumpulan individu ditempatkan dalam sebuah stadium tertutup

Oleh itu, beliau meminta masyarakat bertenang dan diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk berita palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Insiden berkenaan didakwa berlaku di stadium tertutup di sini dan dikatakan berpunca daripada kesesakan di Hospital Sungai Buloh yang tidak dapat menampung jumlah pesakit COVID-19.

“Sehubungan itu, Polis Kontinjen Selangor mengesahkan bahawa berita yang disebarkan melalui klip video tersebut adalah berita palsu dan tidak benar sama sekali,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Arjunaidi turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang perkongsian atau menyebarkan berita yang diperoleh dari sumber yang tidak sahih.

Tambah beliau, perbuatan berkenaan boleh mencetuskan suasana panik, tidak harmoni serta boleh menggugat ketenteraman awam.

“Masyarakat boleh mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu tentang sesuatu isu atau berita,” katanya.

Menerusi video tersebut, sekumpulan individu dilihat ditempatkan di ruang tengah stadium yang telah dikelilingi oleh kawan berduri di kawasan berkenaan

Get real time updates directly on you device, subscribe now.