Usahawan muda digalak ceburi industri pengeluaran nenas

127

26 DIS : Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Mohd Khairuzamri M. Salleh berkata, Industri pengeluaran nanas negara akan terus dipergiat dan diperkasakan dengan menarik lebih ramai agropreneur muda untuk terlibat dalam tanaman komoditi tersebut.

Menurut beliau,misi menggandakan hasil pengeluaran nanas negara mampu dicapai dengan penglibatan lebih ramai golongan muda bukan sahaja untuk menampung permintaan dari luar negara malah di peringkat domestik.

“Geran Agropreneur Muda (GAM) daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan tersebut diberikan kepada agroprenuer muda berusia 18 hingga 40 tahun yang terlibat dengan tanaman nanas dalam bentuk barangan seperti input pertanian dan peralatan perladangan.

“Geran sebanyak RM4.489 juta telah diperuntukkan sejak 2018 yang membabitkan RM1.42 juta pada 2018, RM1.01 juta pada 2019 manakala RM2.05 juta pada 2020,” ujarnya.

Sehingga kini, katanya seramai 234 agropreneur muda nanas dari seluruh negara berjaya dilahirkan yang membabitkan 202 peserta bagi sektor tanaman manakala 32 peserta bagi sektor industri asas tani.

“LPNM berharap dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih dan dengan Revolusi 4.0 yang boleh diaplikasikan dalam pertanian khususnya dalam tanaman nanas, orang muda akan tampil ke depan dengan membawa pembaharuan untuk membangunkan industri ini.

“Setakat ini, 60 peratus daripada pengusaha ketika ini berumur sekitar 60 tahun di mana penerimaan dalam kalangan mereka terhadap teknologi agak sukar. Jadi ini yang kita hendak ubah penglibatan lebih ramai dalam kalangan anak muda mencorakkan pemodenan industri nanas itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepadapemberita selepas sesi tinjauan mesra usahawan muda agropreneur tanaman nanas di kebun nanas di Parit Sikom, di sini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah serta Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan.

LPNM juga katanya lagi, sedang mengadakan kerjasama dengan platform e-dagang terkenal Shopee Malaysia yang bertujuan untuk memperluas produk usahawan nanas dalam talian dengan mengumpulkann semua pengusaha nanas dalam satu platform.

“Ia dijangka dilancarkan pada awal tahun 2021,” katanya.

Selain itu, katanya, LPNM juga menggalakkan program perluasan tanaman nanas secara integrasi yang akan memberi peluang dan manfaat kepada pengusaha dan pekebun kecil dalam mempelbagaikan hasil tanaman dalam satu kawasan.

“Saya secara peribadi menyeru orang ramai khususnya golongan muda agar terlibat dalam sektor ini. Ia kerana dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) lebih  90 peratus pengusaha nanas yang berada di bawah golongan B40 telah kita keluarkan daripada kategori tersebut.

“Tanaman nanas seluas 16,000 hektar pada masa kini masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan luar negara terutamanya jenis nanas MD2 yang mendapat permintaan tinggi khususnya dari negara China,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.