UDA beri subsidi sewa jika pandemik Covid-19 berlarutan

38

26 DIS : Pengerusi UDA Holdings Bhd, Datuk Jalaluddin Alis berkata, syarikat hartanah dan pengurusan aset itu akan membantu peniaga Melayu yang menyewa premis syarikat tersebut dengan memberikan subsidi sewa sekiranya pandemik Covid-19 ini masih tidak berakhir dalam masa yang terdekat.

Menurut beliau, perkara tersebut sudah dibincangkan dalam pelan pembangunan UDA Holdings untuk tahun 2021 hingga 2025.

“Pengecualian sewaan sama ada 100 peratus atau sebahagian dari itu akan bergantung kepada situasi COVID-19 pada tahun depan. Kita mahu peniaga yang menyewa premis UDA dibantu apatah lagi mereka turut terjejas secara lansung dengan pandemik ini.

“Subsidi sewaan kepada peniaga sudah dilaksanakan sebelum ini akan tamat pada hujung bulan ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Singgah Santai Anak Muda di Masjid Kariah Kampai hari ini.

Ahli Parlimen Jelebu itu seterusnya menjelaskan, UDA Holdings juga akan membantu golongan miskin di kawasan bandar dengan membaik pulih dan membina rumah baharu bagi penerima yang sudah dikenal pasti bersempena sambutan jubli emas syarikat tersebut tahun depan.

“Ini merupakan usaha UDA Holdings bagi memastikan golongan berkenaan mempunyai hak milik tanah sendiri sempena sambutan jubli emas,” katanya.

Sementara itu, Jalaluddin juga menjelaskan bahawa UDA Holdings akan memulakan semula pembinaan premis perniagaan di kawasan bandar dan pinggir bandar bagi golongan muda bermula tahun depan.

“Sebagai permulaan, kawasan seluas 1.2 hektar di Kuala Lumpur telah pun dikenal pasti sebagai lokasi memulakan perniagaan dalam pelbagai bidang termasuk e-sport.

“Kita juga sedang merancang untuk melaksanakan pembinaan enam unit perniagaan dua tingkat premis UDA Niaga bagi usahawan baharu pinggir bandar akan mula dibina di Kuala Klawang yang bermula Januari depan,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.