Polis Pulau Pinang rampas dadah bernilai RM25.87 Juta

202

26 DIS : Sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan hari ini berjaya ditumpaskan apabila tiga serbuan polis Pulau Pinang di Nibong Tebal berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 573 kilogram (kg) bernilai RM25.87 juta.

Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, dalam tiga serbuan yang dilakukan pada Isnin hingga Rabu lepas, dua lelaki berusia 37 dan 43 tahun yang merupakan dalang sindiket berjaya ditahan pihak polis.

“Serbuan itu dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan dan Balai Polis Nibong Tebal.

“Dalam serbuan yang dilakukan pada jam 7 petang hingga 11 malam, polis menahan dalang sindiket terbabit di dalam sebuah kereta yang berhenti di sebuah lorong di antara premis kedai di Taman Perindustrian Nibong Tebal.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta menemui 100 bungkusan dadah dipercayai syabu sebelum membawa kepada serbuan kedua di sebuah stor penyimpanan bekalan pelbagai jenis dadah di kawasan taman perumahan berdekatan.

“Polis juga menjumpai sejumlah dadah dipercayai syabu, serbuk ekstacy, pil ekstacy, heroin dan ketamin yang jumlah keseluruhan bernilai RM25.87 juta, Ini merupakan rampasan terbesar bagi tahun ini. ” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

Kata Sahabudin, hasil ujian saringan air kencing dijalankan ke atas mereka mendapati, suspek utama yang mempunyai tiga rekod lampau didapati positif dadah manakala rakannya, negatif dan tiada rekod lampau.

“Polis turut menyita sebuah kereta, wang tunai, wang dalam akaun dan barang kemas dengan nilai sitaan RM234,231.82,” ujarnya.

Berdasarkan siasatan polis, Sahabudin menjelaskan sindiket tersebut mendapatkan bekalan dari negara jiran di bahagian utara dan menjadikan Pulau Pinang sebagai kawasan transit, sebelum memasarkan semua dadah itu sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dengan menggunakan jalan darat.

Kedua-dua suspek itu direman selama tujuh hari dari 22 Disember lalu hingga Isnin ini bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.