Penguatkuasaan Sijil Halal Produk Import Akan Diperkukuhkan

60

26 DIS: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan melaksanakan kajian terperinci dalam memperkukuhkan lagi penguatkuasaan terhadap kelulusan dan kebenaran sijil halal melibatkan barangan import termasuklah kartel daging.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkara tersebut amat penting untuk memastikan rakyat Malaysia diyakini mendapat produk yang halal.

Menurut beliau, kerajaan juga amat mengalu-alukan cadangan yang dikemukakan beberapa pihak melibatkan prosedur operasi standard (SOP) dan kawal selia yang perlu ditambahbaik dalam agensi itu.

“Insya-Allah dengan pembongkaran ini pihak kerajaan akan terus memperkukuhkan lagi SOP termasuk kawal selia dan sekiranya perlu kakitangan yang lebih, kita akan buat pengambilan nanti. 

“Penguatkuasaan tersebut juga turut melibatkan agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan koloborasi daripada pelbagai pihak.

“Cadangan yang dikemukakan Pemuda UMNO itu juga kita sambut baik,” katanya kepada media selepas Program Berkhatan Peringkat Pengkalan Chepa di Dewan Besar Pasti Kota Bahru, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa kerajaan menubuhkan pasukan khas yang melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dalam industri Halal bagi mengenal pasti dalang sindiket yang bertanggungjawab dalam isu daging halal palsu dan tindakan tegas mesti diambil tanpa kompromi.

Sementara itu, mengulas berhubung video yang tular memperlihatkan pemimpin tertinggi anak syarikat Tabung Haji (TH) yang mengeluarkan kata-kata kurang sopan, Ahmad Marzuk berkataia tidak mewakili imej sebenar syarikat tersebut.

“Itu adalah kesalahan peribadi individu berkenaan. Individu terbabit juga sudah memohon maaf,” ujarnya.

Bagaimanapun, siasatan terhadap kebocoran video tersebut akan diadakan untuk mengenal pasti individu yang menyebarkan rakaman mesyuarat tertutup itu.

“Mesyuarat itu sebenarnya tertutup dan kita tidak tahu bagaimana ia boleh bocor. Siasatan secara menyeluruh dan komprehensif akan dilakukan daripada aspek pentadbiran,” jelasnya.

Baru-baru ini tular satu video berdurasi hampir tiga minit menerusi media sosial yang memaparkan Ketua Pegawai Eksekutif TH Properties Sdn Bhd, Damanhuri Mahmod mengeluarkan kata-kata kurang sopan dalam satu mesyuarat yang dipercayai melibatkan kakitangan pentadbiran syarikat hartanah berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.