Pegawai Stesen LRT Bandaraya Positif COVID-19

48

26 DIS: Seorang pegawai stesen Transit Aliran Ringan (LRT) yang bertugas di Stesen Bandaraya disahkan positif COVID-19 dua hari lalu.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengesahkan perkara ini menerusi satu kenyataan media hari ini.

Prasarana menjelaskan staf terbabit yang kali terakhir bertugas pada 19 Disember lalu dan tidak bekerja pada tarikh berkenaan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

“Berdasarkan siasatan kami, ini adalah insiden di kawasan tertutup dan pegawai stesen berkenaan tiada mempunyai kontak dengan penumpang ketika bertugas,” kata kenyataan itu.

“Sehubungan itu, pengurusan Rapid Rail selaku operator perkhidmatan rangkaian LRT menjalankan kerja nyah cemar dan pembersihan di tempat kerja staf terbabit pada malam berkenaan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya. 

Sebagai langkah waspada, staf lain yang mempunyai kontak dengan pegawai stesen berkenaan turut diarahkan menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri selama selama 14 hari, mengikut prosedur operasi standard KKM.

Rapid Rail juga turut memberi jaminan bahawa perkhidmatan pengangkutan awam kendaliannya adalah selamat seiring pematuhan SOP yang dikehendaki.

“Rapid Rail akan terus memantau dengan rapi perkembangan kes ini dan sentiasa bekerja rapat dengan pihak berkuasa khususnya KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sejak awal penularan pandemik ini pada awal tahun bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang dikendalikan Rapid Rail dan juga Rapid Bus sentiasa berkeadaan selamat serta selesa digunakan.

“Tren-tren untuk semua laluan sememangnya ditetapkan untuk menjalani kerja-kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap hari semasa waktu puncak serta selepas operasi pada hari berkenaan.

“Kakitangan yang bertugas di semua stesen dan di dalam tren sentiasa mematuhi SOP dengan rapi khususnya pemakaian pelitup muka, menjaga kebersihan diri dan mengelakkan kontak dengan penumpang,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.