KPKT Perkenal Dasar Pembangunan Semula Perumahan Awam

150

26 DIS : Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya akan memperkenalkan Dasar Pembangunan Semula Perumahan Awam bagi membolehkan rumah baharu yang lebih selesa dibina menggantikan kediaman yang sudah terlalu lama.

Menurut Zuraida Kamaruddin, melalui dasar tersebut, rakyat terutama golongan B40 dapat mendiami rumah yang lebih besar dengan kemudahan lengkap berbanding rumah lama yang sedang didiami mereka.

“Perumahan awam iaitu rumah mampu milik sedia ada hari ini hanya berkeluasan 750 kaki persegi dan menerusi dasar baharu ini rumahnya mesti berkeluasan 900 kaki persegi.

“Melalui dasar pembangunan semula ini, rumah yang sudah berusia 30 tahun kita robohkan dan kita akan bina perumahan baharu. Kaedah ini bagus kepada pemilik, kerana jika kita bina rumah baharu, mereka akan dapat rumah yang lebih besar,”ujarnya.

Zuraidah berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menghadiri mesyuarat bersama Exco Perumahan Negeri Kedah berkenaan projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Ayer Hitam, Jerlun, Kedah hari ini.

Dasar itu jelasnya lagi, kini sedang diperkemaskan dan akan dibawa ke Kabinet dan seterusnya bakal dibentangkan di Parlimen untuk mendapat kelulusan.

“Pada masa ini iaitu membuat penyelenggaraan terhadap rumah-rumah awam termasuk PPR sudah tidak lagi menjimatkan kos berbanding pembinaan semula rumah baharu yang lebih menguntungkan.

“Walaupun tanpa perbelanjaan daripada kerajaan, kita masih babitkan syarikat swasta dan sebahagian tanah itu pihak swasta boleh membina rumah bagi jualan mereka sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Zuraida turut menjelaskan permasalahan PPR Ayer Hitam di Jerlun itu yang sepatutnya siap pada 15 Ogos lalu ekoran penyerahannya sedikit tertunda kerana masalah teknikal antaranya ialah berhubung pertukaran skim rumah.

“Senarai nama pembeli sudah ada seramai 630 orang yang layak membeli rumah itu dan saya telah arahkan pegawai untuk papar nama pemohon yang layak pada Isnin depan. Kita akan cuba selesaikan isu ini secepat mungkin,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.