2,335 kes baharu, rekod tertinggi sepanjang pandemik

102

26 DIS : Malaysia hari ini merekodkan kes harian baharu tertinggi sepanjang pandemik COVID-19 di negara ini iaitu sebanyak 2,335 kes menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 103,900 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 20,035 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 11 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,324 kes.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 728 kes (31.2 peratus). Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 710 kes (30.4 peratus) dan Johor sebanyak 412 kes (17.6 peratus),” jelasnya menerusi kenyataan media harian Covid-19 hari ini.

Tambah beliau, sebanyak 308 kes (13.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara.

Beliau turut memaklumkan bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 874 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 83,414 kes (80.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

“Sehingga kini, terdapat 108 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 50 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita juga dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian COVID-19 di Sabah dan Melaka pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 451 kes (0.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.