Tiada varian baharu Covid-19 UK di Malaysia

79

25 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan varian baharu COVID-19 yang dilaporkan di United Kingdom (UK) tidak dijumpai di Malaysia, 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi jaminan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) akan terus melakukan ujian penjujukan genom untuk memantau kehadiran varian ini dan juga varian lain.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus berwaspada dengan mengambil pelbagai langkah untuk mencegah berlakunya limpahan varian baru ke Malaysia,” jelasnya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, varian baharu muncul di UK pada akhir November lalu dan namun sehingga kini, pihak berkuasa negara itu masih menyiasat mengapa kadar jangkitan mudah menular sehingga 70 peratus.

Kemunculan varian baru itu dikenali sebagai SARS-CoV-2 VUI-202012/01 yang mana menunjukkan peningkatan penularan 70 peratus dan peningkatan kes tiga kali ganda dalam tempoh 14 hari selepas pemakluman kes.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham memberitahu, varian baharu itu mempunyai mutasi baharu dalam protein termasuk perubahan asid amino dan juga penghapusan tiga asid amino.

Mengenai situasi dan maklumat terkini mengenai mutasi protein COVID-19 di Malaysia, beliau berkata IMR; Institut Kesihatan Nasional (NIH) dan KKM kini melakukan analisa terhadap lebih daripada 120 urutan genom penuh SARS-CoV-2 dari sampel klinikal merangkumi gelombang pertama hingga gelombang ketiga.

“Analisa itu difokuskan kepada pemantauan tepat pada masanya terhadap semua mutasi gen terutama dalam protein lonjakan yang memainkan peranan penting dalam proses pengecaman reseptor dan proses membran sel.

“Selain daripada mutasi lonjakan D614G, kami kini melihat kepada bentuk varian lain, A701V, yang kali pertama dikesan dalam Kluster Benteng Lahad Datu (Benteng LD) dan kemudian merebak ke hampir semua kluster di Semenanjung Malaysia dan Sabah ( pasca Kluster Benteng LD),” katanya.

Sementara itu, mengenai mutasi A701V, beliau berkata Varian A701V mempunyai penggantian asid amino Alanina ke Valina pada kedudukan kodon 701 dalam lonjakan protein.

“Mutasi ini kali pertama dijumpai di antara 22 urutan SARS-CoV-2 dari Kluster Benteng LD dan kemudian merebak ke sebahagian besar kluster gelombang ketiga di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

“Antara kluster gelombang ketiga itu adalah Kluster Teratai, generasi ketiga Kluster Benteng LD, Kluster Tapak Pembinaan Damanlela, Perigi, Selasih, Saguking, Tenaga, Kasih, Bah Ketil, Bukit dan Kaya,” ujarnya lagi.

Noor Hisham menjelaskan jumlah bilangan individu berpenyakit pada sesuatu masa dan kawasan untuk A701V dalam gelombang ketiga adalah 85 peratus (51/60), sedangkan D614G adalah 100 peratus.

“A701V kini beredar bersama D614G bersamaan dengan peningkatan kes yang luar biasa semasa gelombang ketiga,” katanya.

Di peringkat global, beliau menambah seperti di Afrika Selatan, Australia, Belanda dan Britain dilaporkan kes membabitkan varian A701V pada masa yang hampir sama yang dilaporkan di Malaysia.

“Berdasarkan data GISAID, kadar kebolehjangkitan mutasi itu sekitar 0.18 peratus dan bagaimana ia merebak masih belum ditentukan.

“Oleh kerana kebanyakan kluster mempunyai mutasi ini, kehadiran mutasi A701V mungkin memberi kelebihan tambahan kepada virus menjadi strain yang dominan, menunjukkan penyebaran yang lebih baik,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.